KUALA LUMPUR – Keselamatan kanak-kanak dalam talian perlu menjadi tanggungjawab bersama melibatkan kerajaan, ibu bapa, sekolah, penyedia platform digital, pengamal undang-undang serta masyarakat bagi memastikan golongan itu tidak terus terdedah kepada eksploitasi seksual, buli siber dan kandungan memudaratkandi Internet.
Pengerusi Jawatankuasa AI, Undang-Undang Siber dan Perlindungan Data Majlis Peguam Malaysia, Sarah Yong Li Hsien berkata, perkembangan pesat teknologi digital menyebabkan kanak-kanak kini menjadi antara kumpulan paling rentan dalam persekitaran siber.
Menurut beliau, faktor usia, tahap literasi digital yang masih rendah serta ketidakseimbangan kuasa antara pengguna muda dengan platform digital menjadikan kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada risiko dalam talian.
“Keselamatan dalam talian dan perlindungan terhadap golongan rentan khususnya kanak-kanak kini menjadi isu yang amat kritikal dalam era digital,” ujarnya ketika ditemui pemberita dalam satu sesi temu bual di ibu negara.
Beliau berkata, perlindungan terhadap kanak-kanak perlu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan undang-undang yang berkesan termasuk Kanun Keseksaan, Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Sarah Yong Li Hsien – Foto Rosli Talib
Bagaimanapun, Sarah menegaskan langkah perlindungan itu perlu dilaksanakan secara sah dan menghormati hak asasi termasuk hak privasi, akses kepada maklumat, pendidikan serta kebebasan bersuara seperti diperuntukkan di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC).
Beliau berkata, perlindungan keselamatan kanak-kanak tidak boleh dijadikan alasan untuk melaksanakan pengawasan melampau atau sekatan yang tidak munasabah terhadap pengguna Internet.
Dalam masa sama, beliau turut membangkitkan keperluan memperkukuh perlindungan data peribadi pengguna digital terutama membabitkan kanak-kanak.
Jelasnya, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 ketika ini masih tertumpu kepada transaksi komersial dan tidak melibatkan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri.
“Perlindungan data peribadi perlu diperluaskan kepada semua bentuk data peribadi dan bukan hanya transaksi komersial,” ujarnya lagi.
Mengulas ancaman eksploitasi seksual dan buli siber, Sarah berkata, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan melalui pendidikan literasi digital kepada kanak-kanak, ibu bapa dan guru selain pembangunan platform digital yang lebih selamat.
Beliau berkata, kempen kesedaran awam juga perlu diperkasa supaya masyarakat lebih memahami risiko seperti ‘cyber grooming’, gangguan seksual dan buli siber yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, ONSA turut menyediakan saluran remedi terhadap kandungan memudaratkanyang boleh menjejaskan pengguna termasuk kanak-kanak.
Sarah berkata, Majlis Peguam Malaysia juga menyediakan pusat bantuan guaman di seluruh negara bagi membantu individu yang tidak mampu mendapatkan khidmat peguam termasuk mangsa gangguan dan jenayah siber.
Ujarnya, bantuan itu merangkumi nasihat undang-undang, bantuan penyediaan dokumen serta khidmat guaman dalam kes tertentu.
Beliau turut menjelaskan bahawa keselamatan kanak-kanak dalam talian tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja sebaliknya perlu melibatkan ibu bapa, sekolah, pengawal selia, NGO dan platform digital.
Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan amat penting dalam memantau penggunaan internet anak-anak, menetapkan batas penggunaan digital dan membimbing literasi digital mereka.
Sarah turut memuji pelbagai inisiatif kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) termasuk Kempen Internet Selamat, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta penyediaan alat kawalan ibu bapa oleh syarikat telekomunikasi.
Beliau berkata, sekolah dan guru juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik pelajar mengenai keselamatan siber, privasi data, etika penggunaan teknologi dan kewarganegaraan digital.
“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penguat kuasa atau kerajaan semata-mata. Guru memainkan peranan sangat penting,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sarah menegaskan penyedia platform digital perlu memastikan perkhidmatan mereka dibangunkan dengan ciri keselamatan yang sesuai untuk pengguna muda termasuk sistem laporan yang berkesan, polisi moderasi telus dan kawalan ibu bapa yang mudah digunakan.
Beliau berkata, semua tanggungjawab, kewajipan dan mekanisme penguatkuasaan terhadap platform digital juga perlu dinyatakan secara jelas bagi memastikan akauntabiliti dapat dilaksanakan secara berkesan.
Mengulas perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), Sarah mengakui kandungan dijana AI kini semakin sukar dikawal termasuk kandungan seksual yang disamarkan dalam bentuk kartun atau bahan mesra kanak-kanak.
“Saya sendiri pernah melihat kandungan yang menggunakan kartun atau imej mesra kanak-kanak tetapi diselitkan unsur tidak sesuai,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun berkata, undang-undang sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta ONSA masih boleh digunakan untuk menangani kandungan berbahaya dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Sarah turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada algoritma atau platform digital untuk memastikan keselamatan anak-anak kerana tiada sistem mampu memberi jaminan perlindungan 100 peratus.
“Jika seseorang mengeksploitasi seorang kanak-kanak, besar kemungkinan mereka juga mengeksploitasi kanak-kanak lain. Sebab itu tindakan melaporkan sangat penting,” ujarnya.
Beliau berkata, perlindungan kanak-kanak dalam talian perlu dilaksanakan secara seimbang, berasaskan hak, bukti dan kerjasama semua pihak bagi memastikan ruang digital lebih selamat untuk generasi muda.



