razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Lebih 10,000 pemuzik dan penggiat seni persembahan dari sembilan negara dijangka berhimpun di ibu negara sempena Asian Music Games (AMG) Kuala Lumpur 2026 pada September depan.
Program bermula 4 hingga 13 September 2026 itu mempertandingkan 105 acara pingat membabitkan kira-kira 7,000 peserta tempatan dan 3,000 peserta antarabangsa, dengan hampir 80 peratus daripada keseluruhan peserta terdiri daripada pelajar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, program malam ini menandakan penutupan Kuala Lumpur Festival 2026 dan pengumuman Asian Music Games Kuala Lumpur 2026, yang akan bermula pada September di Kuala Lumpur.
Katanya, ia mencerminkan usaha berterusan untuk memperkukuh budaya, kreativiti dan kualiti hidup bandar sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang mengalu-alukan acara serantau yang bermakna.
“Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, acara ini mencerminkan kemeriahan ibu kota kita, semangat golongan muda, serta kuasa muzik dan persembahan dalam menyatukan masyarakat merentasi sempadan.
“Dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur bersedia untuk mengalu-alukan komuniti seni pancaragam Asia ke bandar raya ini,” katanya ketika berucap di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
AMG Kuala Lumpur 2026 dianjurkan oleh Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), diiktiraf Asian Marching Band Confederation (AMBC) dan World Marching Band Organization diadakan dengan kerjasama Persatuan Pancaragam Malaysia.
YAIKK diberikan mandat rasmi AMBC untuk menganjurkan edisi kedua Asian Music Games selepas mengatasi pencalonan dari Filipina dan Thailand.
AMG Kuala Lumpur 2026 bakal menghimpunkan kumpulan pancaragam, orkestra dan penggiat muzik terbaik dari seluruh Asia menerusi format pertandingan ala Olimpik yang pertama seumpamanya dalam bidang muzik.
Membawa tema “Music of Us” (Muzik Kita), AMG Kuala Lumpur 2026 meraikan muzik sebagai bahasa sejagat yang menyatukan budaya, komuniti dan negara.
Pertandingan akan berlangsung dalam tiga kategori umur iaitu Junior, Senior dan Terbuka, membabitkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Taiwan, Sri Lanka, India dan Jepun.
Pemilihan Kuala Lumpur sebagai Bandar Tuan Rumah amat signifikan kerana ia mengambil alih peranan Jember, Indonesia yang berjaya menganjurkan edisi sulung Asian Music Games pada tahun 2023.
Sementara itu, Presiden AMBC, Sehat Kurniawan berkata, AMG mewakili satu evolusi baharu yang berani dalam dunia ‘marching arts’ di rantau ini.
“Selepas kejayaan edisi sulung di Jember pada tahun 2023, kami amat teruja melihat Kuala Lumpur meneruskan kesinambungan itu sebagai ‘Host City’ bagi tahun 2026.
“Dengan semangat belia, kepelbagaian budaya dan sokongan penganjuran yang kukuh, Kuala Lumpur berada pada kedudukan terbaik untuk mengangkat AMG ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




