Gunung Batu Putih dikelilingi 8 kampung Orang Asli

Gunung Batu Putih dikelilingi 8 kampung Orang Asli

Kuala Lumpur: Gunung Batu Putih Tapah, Perak, dikelilingi sekurang-kurangnya lapan penempatan orang Asli, dengan Pos Musoh dan Pos Gedong berkedudukan paling hampir.

Enam penempatan lain ialah Pos Titom, Pos Lenjang, Pos Lemoi, Pos Sinderut, Pos Tenau dan Pos Jernang.

Malim gunung, Zubir Ahmad Muhammad Ismail memberitahu BH, ada kes pendaki dilaporkan hilang dan kemudian dijumpai di pos Orang Asli sebelum ini.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan mana-mana pendaki boleh tersesat sehingga memasuki penempatan Orang Asli yang berada di sekitar gunung berkenaan.

“Kita maklum dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita yang giat dijalankan ketika ini dan sudah seminggu berlangsung.

“Sebelum ini ada pendaki dijumpai selepas dua minggu dilaporkan hilang, maka saya yakin harapan itu tetap ada,” katanya.

Jaslinda bersama 13 individu lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan sebelum berhenti, namun mangsa meneruskan perjalanan ke puncak gunung.

Kehilangan berlaku dalam ekspedisi Trans Spencer Chapman, laluan hutan pergunungan yang melalui Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan dijangka keluar melalui Kuala Woh.

Kali terakhir Jaslinda dilihat oleh MGP pada 24 Mei, kira-kira jam 7.30 pagi sebelum SAR dilancarkan pada hari sama sebaik menerima laporan.

Gunung Batu Putih mempunyai ketinggian 2,132 meter, menjadikan laluan itu trek mencabar yang memerlukan stamina, pengalaman dan disiplin kumpulan yang tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top