Identiti warga Myanmar maut dalam kebakaran bangunan Odeon dikenal pasti

Identiti warga Myanmar maut dalam kebakaran bangunan Odeon dikenal pasti

audreymd@nst.com.my

Georgetown: Pekerja binaan warga Myanmar yang maut dalam kebakaran memusnahkan bangunan dua tingkat bekas pawagam Odeon di Jalan Penang di sini malam tadi, dikenal pasti sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa berusia 50-an ditemui semasa operasi memadam kebakaran di bangunan bersejarah yang kini beroperasi sebagai sebuah pusat hiburan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mengalami lecur tahap pertama,” katanya hari ini.

Shoki berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini dilaporkan seorang individu maut dalam kebakaran yang tercetus di bangunan bekas pawagam Odeon berkenaan.

Ketika kejadian, bangunan tersebut sedang ditutup bagi menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian.

Mengulas lanjut, Shoki berkata jabatan itu menerima panggilan kecemasan pada jam 8.50 malam.

Beliau berkata kebakaran tersebut melibatkan sebuah premis hiburan kekal dua tingkat dengan anggaran 70 peratus musnah dijilat api.

Katanya, premis berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian, manakala pengurusnya pula tiada di dalam bangunan sewaktu kebakaran bermula.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 10.28 malam, namun operasi ‘overhaul’ (pemeriksaan menyeluruh) masih diteruskan sehingga pagi ini berikutan runtuhan struktur yang besar.

“Runtuhan besar pada struktur bumbung dan dinding konkrit telah menyekat laluan ke bahagian tengah premis untuk kerja-kerja penyejukan dan pemeriksaan.

“Bahan dinding berasaskan gentian (fiber) juga menyumbang kepada merebaknya kebakaran, dan asap masih lagi kelihatan di lokasi kejadian,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top