‘United belum mampu menang EPL musim depan’ – Rooney

‘United belum mampu menang EPL musim depan’ – Rooney
‘United belum mampu menang EPL musim depan’ – Rooney

Wayne Rooney – Foto: Agensi

LEGENDA Manchester United, Wayne Rooney mengingatkan kelab itu agar bersikap realistik berhubung peluang mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan meskipun menunjukkan peningkatan ketara di bawah bimbingan Michael Carrick.

Carrick berjaya memacu pasukan itu mengharungi separuh kedua kempen United dengan cemerlang sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga dan mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Prestasi memberangsangkan itu mendorong pihak pengurusan kelab menawarkan kontrak tetap selama dua tahun kepada Carrick bagi merancang persiapan menghadapi kempen 2026/27.

United kini dilaporkan menyasarkan pemain tengah Atalanta, Ederson sebagai rekrut pertama jendela perpindahan musim panas ini bagi memperkasakan lagi skuad sedia ada.

Walaupun sebilangan penganalisis percaya United mampu menyaingi Arsenal dan Manchester City musim depan bersandarkan rekod 39 mata yang dikutip sejak Januari Rooney memilih untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

“Saya fikir situasi Man United sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat sukar buat penyokong untuk merasai kegembiraan. Namun sejak Michael (Carrick) mengambil alih, saya melihat harapan dan keyakinan itu kembali dalam kalangan peminat.

“Untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan kembali ke UCL adalah satu perkembangan positif. Saya harap mereka akan menandatangani beberapa pemain lagi yang dapat membantu pasukan melangkah ke tahap seterusnya,” katanya.

Apabila ditanya mengenai peluang United memburu kejuaraan liga, bekas penyerang berbisa The Red Devils itu menjelaskan bahawa sasaran kelab sememangnya untuk memenangi setiap kejohanan yang disertai namun realiti semasa harus diukur dengan bijak.

“Bagi saya, jika United mampu mengekalkan kedudukan empat teratas musim depan, mencabar kejuaraan seperti Piala FA, dan beraksi dengan baik dalam LIga Juara-Juara, itu sudah dikira sebagai satu kemajuan yang baik.

“Kita semua mahu melihat mereka menjuarai liga, tetapi kita perlu realistik. Adakah mereka mampu memenanginya (EPL atau UCL)? Saya rasa ia amat sukar, tetapi apa yang penting adalah melihat peningkatan yang berterusan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, trofi terakhir yang dijulang United adalah Piala FA pada tahun 2024 di bawah kendalian Erik ten Hag.

Kali terakhir gergasi Old Trafford itu merangkul kejuaraan EPL adalah pada musim 2012/13 di bawah era Sir Alex Ferguson.

Scroll to Top