PETALING JAYA: Pempengaruh media sosial, Ain Ramli, menafikan dakwaan bahawa kandungan video bersiri ‘Abang & Ina’ yang dihasilkannya bersama penyanyi, Mimi Fly, mempromosikan gaya hidup hubungan sejenis.
Menurut Ain, kandungan tersebut hanya bertujuan sebagai hiburan ringan yang memaparkan keakraban antara rakan tanpa sebarang mesej atau niat tersirat.
“Apa yang anda lihat dalam kandungan saya hanyalah diri saya yang sebenar dan sedang berseronok bersama rakan-rakan. Ia sentiasa bersifat hiburan ringan, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.
“Jika anda mengikuti ‘Abang & Ina’ sejak hari pertama, anda pasti memahami niat di sebaliknya. Ia sekadar suka-suka dan tidak perlu diambil terlalu serius,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Threads, hari ini.
Mengulas kritikan yang timbul dalam kalangan pengguna media sosial, Ain mengakui dia tidak mempunyai kuasa untuk mengawal cara orang ramai mentafsir kandungan yang dihasilkannya.
Katanya, setiap individu mempunyai perspektif tersendiri dalam menilai sesuatu perkara dan dia menghormati pandangan tersebut.
“Saya tidak boleh mengawal bagaimana setiap individu memilih untuk mentafsir kandungan saya. Setiap orang melihat sesuatu perkara melalui lensa mereka sendiri dan itu terpulang kepada mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh isu kanak-kanak yang menonton video berkenaan, Ain berpendapat ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan utama dalam memantau serta membimbing anak-anak.
Ain percaya kebanyakan ibu bapa masa kini bijak mengendalikan perbualan dan membuat keputusan yang selari dengan nilai serta pegangan keluarga masing-masing.
“Akhir kata, ini hanyalah diri saya. Saya tidak berada di sini untuk memaksa sesiapa bersetuju dengan saya dan setiap orang berhak mempunyai pendapat sendiri.
“Jadi, sekiranya kandungan saya tidak sesuai dengan jiwa anda, saya faham. Tidak perlu menyimpan rasa marah atau dendam, teruskan sahaja ‘scroll’. Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang dan saya akan terus memuat naik kandungan yang saya mahu,” katanya.
Terdahulu, sketsa ‘Abang & Ina’ yang dimuat naik Ain bersama Mimi Fly mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk segelintir pihak yang beranggapan kandungan tersebut mempromosikan hubungan sejenis.-UTUSAN




