Bukan dating, Fazley Yaakob nafi ada hubungan istimewa dengan DSV

Bukan dating, Fazley Yaakob nafi ada hubungan istimewa dengan DSV

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya bukan pergi ‘dating’ ya! Saya hadir ke konsert itu untuk menemani Kacak dan Datuk Seri Vida (DSV) sahaja!”.

Demikian penjelasan penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berhubung kehadirannya bersama usahawan Datuk Seri Vida di Zepp Kuala Lumpur, malam semalam bagi menonton Konsert For You: Nourul.

Menafikan dakwaan mempunyai hubungan istimewa, Fazley menerusi hantaran di Instagram menjelaskan kehadiran bersama DSV bukanlah satu perkara yang dirancang, sebaliknya berlaku secara kebetulan.

“Saya memang tidak merancang langsung! Tetapi, anda semua tetap tidak percaya, kan?” tulisnya dalam nada berseloroh.

Menceritakan kronologi di sebalik ‘pertemuan’ mengejut itu, Fazley berkata, segalanya bermula apabila dia bersama anaknya, Ahmad Fariedz Shah singgah ke satu sesi latihan.

“Semalam, saya dan Payish (Fariedz) singgah ke sesi latihan TTMM. Setibanya di sana, saya dimaklumkan bahawa Datuk Seri Vida dan Datuk A Aida merancang untuk menghadiri konsert Nourul pada malam itu.

“Namun, secara tiba-tiba Datuk A Aida tidak dapat pergi kerana mempunyai urusan keluarga. Jadi, saya dijemput oleh DSV untuk menggantikan tiket yang ada itu,” katanya.

Tambah Fazley, dia tidak menolak pelawaan itu kerana sememangnya sudah berniat untuk menyaksikan konsert Nourul, namun kekangan waktu menghalangnya membuat perancangan awal.

“Saya pun okey sahaja! Tambahan pula, memang saya sudah berhajat untuk menghadiri konsert Kak Nourul, cuma tidak berkesempatan untuk merancangnya dengan betul-betul.

“Terima kasih banyak kepada DSV dan Kacak kerana sudi menjemput saya. Memang hebat betul suara Kak Nourul!” katanya.

Dalam pada itu, Fazley turut meluahkan rasa geli hati apabila menyedari ada segelintir peminat mula mengusik dan ‘menjodohkan’ mereka berdua dengan mencipta nama gabungan yang unik sewaktu di konsert berkenaan.

“Kepada kamu semua yang menjerit-jerit semalam, #Didadavida, dari mana sebenarnya kamu dapat nama itu? Hahaha, kreatif betul kamu semua kalau bab menggabungkan nama-nama begini, kan?” katanya.

Peminat mula memadankan Fazley dan Vida selepas tular di media sosial mengenai kriteria wanita idaman penyanyi lagu Asmara Ini iaitu berwajah ‘Chinese look’ dan tidak terlalu kurus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top