am@hmetro.com.my
Ampang: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 13 bangunan di Taman Cahaya Ampang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada 7.45 malam.
Menurutnya, wanita itu memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki sudah terjatuh dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan awal mendapati, mangsa jatuh dari tingkat 13 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Perubatan Hospital Ampang.
“Proses bedah siasat dilakukan pada 9 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang juga warga tempatan itu dipercayai bersendirian di rumah.
“Kita sudah mengambil lima keterangan individu membabitkan ibu bapa dan keluarga mangsa serta saksi awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




