Najib tidak perlukan prosedur angioplasti, pemasangan stent

Najib tidak perlukan prosedur angioplasti, pemasangan stent

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak memerlukan prosedur angioplasti belon mahupun pemasangan stent untuk rawatan berkaitan jantung yang dialami bekas Perdana Menteri itu.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, setelah angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar-pakar mendapati tiada keperluan untuk Najib menjalani sebarang intervensi perubatan.

Beliau berkata, penyumbatan salur darah itu sebaliknya boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan.

“Berikutan siri penilaian perubatan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu, pihak doktor telah mengesan penyumbatan pada salur darah koronari yang memerlukan penilaian lanjut melalui angiogram koronari.

“Berdasarkan penemuan tersebut, pasukan perubatan pada awalnya menasihatkan bahawa terdapat kebarangkalian dianggarkan sebanyak 95 peratus bahawa Datuk Seri Najib akan memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon dan pemasangan stent,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Najib dijadualkan menjalani ujian angiogram di Hospital Serdang iaitu satu prosedur perubatan bagi memeriksa saluran darah dan mengesan plak yang menyumbat saluran berkenaan.

Muhammad Shafee berkata, keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.

Katanya, memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur tersebut adalah nyata dan berasas.

“Mujurlah, angiogram koronari tersebut menunjukkan bahawa penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Datuk Seri Najib kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor yang merawat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top