sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Proses pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu dilaksanakan secara telus, adil dan profesional bagi memastikan keyakinan semua pihak terhadap badan induk bola sepak negara terus terpelihara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, selepas proses pencalonan ditutup Ahad lalu, tumpuan kini terarah kepada proses semakan serta pengesahan calon yang akan menentukan kredibiliti pemilihan berkenaan.
Menurutnya, FAM perlu memastikan tiada sebarang campur tangan atau layanan berbeza diberikan kepada mana-mana calon sepanjang proses itu berlangsung.
“Ketelusan bukan sahaja penting untuk menjaga integriti FAM, malah mampu mengembalikan keyakinan penyokong, pemain, ahli gabungan dan seluruh pemegang taruh bola sepak negara.
“Saya berharap keseluruhan proses ini dilaksanakan secara telus, adil dan profesional tanpa sebarang campur tangan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mencadangkan supaya FAM memaklumkan kepada umum tempoh proses tapisan serta jangkaan tarikh pengumuman senarai calon yang layak bertanding bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
Katanya, penjelasan yang jelas mengenai proses semakan, termasuk pengesahan dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi, mampu mengelakkan salah faham dalam kalangan penyokong serta pemegang taruh.
Menurut Ahmad Muzakkir, ketika bola sepak Malaysia sedang berusaha memulihkan keyakinan masyarakat, setiap proses pemilihan kepimpinan FAM perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti.
Beliau dalam masa sama berharap Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terus memantau proses berkenaan secara objektif selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik serta komitmen terhadap ketelusan dalam pentadbiran bola sepak.
“Siapa sahaja yang dipilih kelak mestilah benar-benar mempunyai keupayaan, kredibiliti, visi dan komitmen untuk memajukan bola sepak Malaysia, bukannya sekadar memenuhi jawatan semata-mata,” katanya.
Ketika ini, difahamkan terdapat tiga individu bakal bertanding untuk merebut status Presiden FAM dan mereka semua bukanlah nama asing di dalam dunia bola sepak di negara ini. Tumpuan juga dijangka akan terarah kepada beberapa jawatan yang akan berlangsung September ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



