
Visual menunjukkan sebutir meteor yang meletup dengan kekuatan 300 tan TNT di ruang udara AS Sabtu lalu. FOTO AFP.
WASHINGTON – Sebutir meteor meletup di ruang udara timur laut Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu lalu, lapor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Kejadian itu mencetuskan dentuman yang bergema di seluruh wilayah dengan kuasa letupan menyamai 300 tan TNT.
Menurut Timbalan Ketua Berita Agensi Angkasa Lepas AS, Jennifer Dooren, bebola api gergasi itu dilaporkan meletus di ruang udara timur laut Massachusetts dan tenggara New Hampshire pada jam 2.06 petang.
“Namun bebola api tersebut tidak dikaitkan dengan sebarang hujan meteor yang aktif buat masa ini, tetapi sebaliknya ia objek semulajadi dan bukannya kemasukan semula serpihan angkasa atau satelit.
“Tenaga yang dilepaskan semasa letupan bersamaan kira-kira 300 tan bahan letupan TNT,” katanya dalam kenyataan.
Jennifer berkata, meteor itu bergerak pada kelajuan 120,000 kilometer (km) sejam dan meletup pada ketinggian 64 km.
Penduduk kawasan sekitar mengakui terkejut mendengar dentuman yang sangat kuat sehinggakan rumah-rumah bergegar. – AGENSI



