Pas tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan pihak lain – Abdul Hadi

Pas tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan pihak lain – Abdul Hadi

SHAH ALAM – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti yang diterajuinya tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan pihak lain.

Kenyataan tersebut dimuat naik di Facebook miliknya pada Isnin ketika hubungan antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) didakwa sedang goyah.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kerjasama dengan pihak lain tidak akan dikhianati selagi mana ia mengikut sempadan ALLAH dan ajaran Rasulullah SAW.

“Pas bekerjasama dengan semua pihak sejak mula ditubuhkan sebelum kemerdekaan menentang penjajahan dan selepas kemerdekaan bagi mengisi kemerdekaan dengan teguh atas prinsip Islamnya serta membatalkan kerjasama apabila mahu diheret keluar daripada landasannya.

“Pas membatalkan kerjasama dengan DAP bersama Pakatan Rakyat apabila suara dan perkataan Islam diminta untuk disembunyikan serta berlakunya tentangan terhadap Islam yang menjadi dasar dan matlamat Pas,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi dalam satu sidang media menyatakan parti itu akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu atas beberapa faktor antaranya mendakwa parti berkenaan menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

Dakwaan Abdul Hadi kemudiannya dibalas Biro Politik Bersatu yang menyatakan rasa kesal terhadap tuduhan dilemparkan berhubung beberapa isu termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis, krisis politik Negeri Sembilan serta dakwaan kelemahan jentera pilihan raya dikatakan menjadi asas Pas mengkaji semula hubungan dengan parti itu.

Terbaru, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan Pas dan Bersatu wajar bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang selepas mendakwa hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin sukar dipertahankan.

Menurutnya, kenyataan seorang pemimpin Bersatu di Melaka menyifatkan pihak yang mendakwa partinya tiada jentera sebagai ‘pekak’ menggambarkan bahawa sudah tiada harapan untuk mewujudkan kerjasama harmoni antara kedua-dua pihak.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyatakan Pas menolak kalangan anggotanya sendiri yang mengambil pendekatan mujamalah (toleransi atau mengambil hati) supaya menyembunyikan cita-cita negara Islam dan pelaksanaan Islam bagi meneruskan kerjasama dengan pihak lain.

“Pas banyak mengambil pengalaman daripada beberapa gerakan Islam di beberapa negara yang mengambil pendekatan mujamalah sehingga membuang label Islamnya, lalu ditukar kepada perkataan keadilan, kemerdekaan, islah dan amanah,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, tegasan parti tersebut dalam istiqamah bersama Islam menjadikannya gagal diheret dan dipergunakan dalam permainan politik tidak ikhlas bersama Islam.

“Semua pihak yang mahukan Pas menjadi tangga tujuan politik mereka berkonsepkan oportunis akan meninggalkan parti ini dengan menerjunkan diri, sehingga terhumban tanpa tangga ataupun dicampak dan tersungkur keluar dalam keadaan membawa diri yang hilang tujuannya. Pasti tenggelam dalam gelombang politik yang sentiasa bergelora,” katanya.

Scroll to Top