Arafah ibarat ‘flashback’ dosa kehidupan

Arafah ibarat ‘flashback’ dosa kehidupan

MAKKAH – Pengalaman berada di Padang Arafah bagi menunaikan rukun haji meninggalkan kesan mendalam secara mental dan fizikal kepada seorang penggiat seni tanah air yang menyifatkan suasana di sana seperti satu proses imbasan semula (flashback) terhadap sejarah kehidupan.

Bagi Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli, yang juga berkhidmat sebagai Sahabat Maktab, detik berada di bumi Arafah merupakan ruang terbaik untuk mengenang kembali segala kesilapan dan dosa lampau.

“Proses di Masyair itu, contohnya di Arafah banyak masa kita mengenang balik. Kalau dalam bahasa filem, ianya adalah flashback segala dosa-dosa dan perkara yang tidak elok dalam hidup kita,” katanya.

Beliau menyifatkan peluang memohon keampunan dan bertaubat di sana sebagai satu momen yang sangat menyentuh perasaan sehingga mengalirkan air mata secara natural tanpa perlu dipaksa.

Selain pengisian rohani, beliau turut memuji aspek kebajikan jemaah yang terjaga apabila pihak Tabung Haji (TH) membekalkan sofa bed untuk kegunaan jemaah ketika bermalam di Arafah, sekali gus memastikan mereka dapat beribadat dalam keadaan selesa.

Menyentuh penglibatannya sebagai Sahabat Maktab, beliau mendedahkan semangat sukarelawan itu sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya yang juga pernah memegang peranan sama ketika menunaikan haji pada tahun 2000.

“Saya rasa mungkin darah kami ini darah yang suka bekerja sukarela. Walaupun sibuk dengan urusan persatuan di tanah air, saya gembira dapat membantu memudahkan urusan TH di sini,” jelas beliau.

Beliau turut berkongsi bahawa pada asalnya, beliau mendaftar untuk tugasan sukarela itu bersama seorang rakan.

Bagaimanapun, rakan tersebut tidak dapat bertugas secara aktif kerana perlu memberi keutamaan untuk menjaga dan menguruskan ahli keluarganya terlebih dahulu.

Sepanjang bertugas di Mina, beliau melalui satu pengalaman hiba apabila menemui seorang jemaah wanita warga emas dari Tawau, Sabah yang tersesat sekitar jam 3 pagi.

Mak cik berkenaan ditemui dalam keadaan sangat lemah dan menangis setelah tersesat selama hampir lima jam ketika dalam perjalanan ke bilik air kerana keliru dengan kedudukan blok yang kelihatan serupa.

“Saya bantu menolaknya dengan kerusi roda ke klinik sebelum dia diserahkan kepada petugas TH dan kembali ke pangkuan suaminya dengan selamat,” ceritanya yang terharu kerana ALLAH mengaturkan jalan untuknya membantu jemaah tersebut.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kepentingan memakai lanyard atau kad pengenalan diri setiap masa kerana kebanyakan kes jemaah sesat berpunca daripada ketiadaan dokumen rujukan blok atau khemah pada diri mereka.

Dalam pada itu, beliau turut memuji ketabahan jemaah Malaysia menempuh cabaran fizikal berjalan kaki pada jarak yang boleh mencecah 40 km (pergi dan balik) sepanjang empat hari fasa melontar di Jamrat.

“Alhamdulillah, sepanjang perjalanan itu, saya tidak melihat jemaah Malaysia yang tersadai atau pengsan. Semuanya berjalan lancar dengan sokongan pengurusan TH yang terbaik,” katanya mengakhiri perbualan.

Scroll to Top