TH raih Labbaikum Diamond Award, pengurusan haji terbaik dunia

TH raih Labbaikum Diamond Award, pengurusan haji terbaik dunia

SEPANG – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Labbaikum Diamond Award, pengiktirafan tertinggi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurusan dan perkhidmatan haji terbaik dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, anugerah berkenaan membuktikan Malaysia mempunyai sistem pengurusan haji yang cemerlang sehingga menjadi rujukan di peringkat global.

Beliau berkata, TH telah menerima Anugerah Labbaikum sebanyak lima kali, termasuk dua kali menerima pengiktirafan tertinggi iaitu Diamond Award di peringkat negara.

“Ini merupakan satu bukti bahawa negara kita mempunyai satu pengurusan haji yang terbaik dan menjadi rujukan global dan dunia,” ujarnya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pulang dari Tanah Suci pada Isnin.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil persiapan menyeluruh yang dilaksanakan TH sejak di tanah air lagi, termasuk menerusi Kursus Haji Perdana dan pelbagai kursus berkaitan, selain pengurusan penerbangan, penginapan, logistik, makanan, sajian serta keselamatan jemaah.

Jelasnya, semua aspek berkenaan disusun dengan rapi dan teliti bagi memastikan keselesaan serta kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.

Selain itu, beliau berkata, TH turut memperkenalkan pelbagai inovasi dan daya cipta sepanjang musim haji, termasuk pelaksanaan program Green Haj atau Haji Lestari yang memberi tumpuan kepada usaha mengitar semula dan upcycle kain ihram serta barangan lain yang boleh dikitar semula.

Beliau berkata, kempen kebersihan yang dilaksanakan di kawasan Masyair dan penginapan jemaah turut mendapat perhatian pelbagai negara.

“Kalau tuan-tuan lihat bagaimana khemah-khemah kita, barangkali di antara khemah yang paling bersih di antara jemaah-jemaah haji di dunia dan ia mendapat liputan daripada berbagai negara. Ini merupakan satu contoh dan tauladan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Zulkifli berkata, TH turut mengintegrasikan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan haji bagi memudahkan urusan jemaah.

Beliau berkata, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah aplikasi e-TAIB, yang membolehkan jemaah mendapatkan jawapan secara real-time berhubung pelbagai persoalan berkaitan ibadah haji.

Jelasnya, aplikasi berkenaan dipantau oleh pembimbing dan pakar rujuk syariah bagi memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan berautoriti.

Mengulas peranan petugas haji, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas membantu kebajikan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Beliau berkata, pasukan petugas yang dikenali sebagai “Semut Hitam” sentiasa bersedia membantu jemaah yang memerlukan, termasuk mereka yang tersesat di sekitar Masjidil Haram.

“Alhamdulillah, mana yang sesat kita dapat bantu dalam masa dua jam dan dapat bantu mereka sampai semula ke penginapan,” tambahnya.

 

 

Scroll to Top