Putrajaya: Sebanyak 34,903 aktiviti penguatkuasaan berhubung pematuhan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dijalankan dengan 683,704 premis diperiksa di seluruh negara setakat 30 April.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi penguatkuasaan itu, sebanyak 233,831 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan boleh dikompaun dan 4,226 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun.
“Sebanyak 398 kes pula masih dalam tindakan pendakwaan di mahkamah manakala 204 kes selesai dijatuhkan hukuman denda yang berjumlah RM1,189,100.
“KKM tidak berkompromi terhadap pelanggaran Akta 852 dan juga sentiasa memantau kesalahan iklan serta promosi produk tembakau secara dalam talian termasuk penjualan vape dan hingga 30 April, sebanyak 2,595 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 7, 8, 9 dan 10 akta itu,” menurut kenyataan itu.
Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Okt 2024 dan pelaksanaan penuh bermula setahun kemudian.
Menurut kenyataan itu, KKM komited menguatkuasakan Akta 852 dengan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) dengan memberi fokus utama pada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok yang bertujuan melindungi generasi muda daripada bahaya produk merokok, termasuk rokok elektronik yang semakin berleluasa.
Berhubung aduan aktiviti pengiklanan dan penjualan produk vape secara dalam talian yang disyaki melanggar akta itu, KKM memaklumkan semakan telah dibuat terhadap 10 platform laman web yang diadukan dan telah mengemukakan permohonan tindakan di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Ia bertujuan menyekat empat laman web berkenaan manakala enam enam lagi laman web sedang dalam tindakan susulan siasatan,” menurut KKM.
Sebarang maklumat dan aduan boleh disalurkan secara rasmi melalui talian WhatsApp Aduan Merokok 010-8608949.
© New Straits Times Press (M) Bhd




