
Muda bertekad mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor akan datang dan mahu terus membawa suara generasi muda dalam pentadbiran negeri.
JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang disandang mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Muda dalam satu kenyataan memberitahu, kemenangan di DUN Puteri Wangsa membuktikan rakyat negeri ini bersedia memberi peluang kepada politik baharu berteraskan integriti, keberanian dan kesungguhan untuk berkhidmat.
Menurut kenyataan itu, parti pimpinan Presiden, Amira Aisya Abd Aziz itu mempunyai ramai pemimpin generasi muda yang berkaliber untuk mewakili rakyat pelbagai peringkat di negeri ini.
“Johor merupakan negeri yang dinamik dan penuh potensi. Namun cabaran dihadapi rakyat kini memerlukan lebih daripada sekadar politik lama dan wajah yang sama. Ia memerlukan barisan pemimpin yang memahami aspirasi generasi baharu, berani membawa pembaharuan dan bersedia mempertahankan kepentingan rakyat.
“Muda percaya sudah tiba masanya lebih ramai golongan muda diberi peluang memimpin dan menyumbang secara langsung dalam proses membuat keputusan di peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, sehubungan itu Muda bertekad untuk mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa bagi memastikan suara rakyat Johor terus diangkat dan diperjuangkan.
“PRN Johor ke-16 bukan sekadar politik atau perebutan kuasa, sebaliknya soal masa depan Johor dan generasi yang akan mewarisinya. Muda ambil maklum pembubaran (DUN) Johor dan menghormati keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat Johor.
“Ini detik penting untuk rakyat menilai prestasi kerajaan, menuntut tanggungjawab daripada mereka yang diberi amanah serta menentukan hala tuju masa depan Johor untuk lima tahun akan datang,” tambahnya.
Pada Isnin, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.



