Bukit Mertajam: Polis Pulau Pinang berjaya melumpuhkan tiga sindiket penipuan antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di premis yang dijadikan pusat panggilan sekitar Bukit Mertajam, semalam dengan 32 individu termasuk empat lelaki tempatan ditahan.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK Pulau Pinang) yang turut membawa kepada rampasan pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM123,000.
Menurut beliau, serbuan pertama di Taman Pinggiran Bukit Minyak membongkar sindiket ‘love scam’ yang dipercayai aktif sejak Januari lepas dengan menyasarkan mangsa di Malaysia, China dan Taiwan.
Dalam operasi itu, 10 warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun ditahan.
Polis turut merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit dan empat router WiFi bernilai kira-kira RM78,000, selain menemui skrip penipuan yang digunakan sindiket berkenaan.
Azizee berkata, serbuan kedua pula membongkar sindiket penipuan pertukaran mata wang kripto USDT yang menyasarkan mangsa dari Taiwan.
Dalam serbuan itu, 15 individu termasuk enam lelaki dan seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki dan dua wanita warga Vietnam serta empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan.
Polis turut merampas 28 komputer, 21 telefon bimbit dan sebuah router WiFi dengan nilai keseluruhan kira-kira RM25,000. Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi sejak April lepas.
Dalam serbuan ketiga, polis berjaya menumpaskan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdaya mangsa di Jepun dan Taiwan.
Seramai tujuh warga asing ditahan membabitkan lima lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun.
Antara yang dirampas ialah telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu serta peralatan komunikasi satelit, dengan nilai rampasan dianggarkan RM20,000.
Azizee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, sementara kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi tujuan reman untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




