Terengganu pacu transformasi ekonomi masa hadapan

Terengganu pacu transformasi ekonomi masa hadapan

SEKIAN lama, nama Terengganu hampir tidak dapat dipisahkan daripada industri minyak dan gas.

Dari pelantar luar pesisir hingga kompleks petrokimia di Kerteh, negeri di Pantai Timur itu sekian lama menjadi antara nadi penting sektor tenaga negara.

Namun di sebalik identiti sebagai ‘negeri minyak’, Terengganu kini sedang menyusun naratif ekonomi baharu yang lebih moden, pelbagai dan berpaksikan masa depan yang mampan.

Apa yang sedang berlaku bukan sekadar pertumbuhan biasa, tetapi satu proses transformasi struktur ekonomi yang perlahan-lahan mengubah wajah negeri itu daripada ekonomi berasaskan sumber kepada ekonomi bernilai tinggi yang lebih berdaya tahan terhadap ketidaktentuan global.

Hari ini, Terengganu sedang memperluas pengaruhnya dalam sektor tenaga hijau, pemprosesan mineral kritikal, industri hiliran berteknologi tinggi, pelancongan premium, pertanian moden serta penjagaan kesihatan pakar.

Lebih menarik, transformasi itu bukan bergerak secara bersendirian, sebaliknya dipacu gabungan usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelabur swasta, syarikat multinasional serta kerjasama strategik bersama pemain tenaga nasional.

Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu menjadi pemacu utama dalam menarik pelaburan strategik merangkumi sektor kesihatan, tenaga hijau, perindustrian dan infrastruktur masa depan.

Transformasi ekonomi penting memandangkan landskap ekonomi dunia sedang berubah pantas, justeru pergantungan berlebihan kepada komoditi semata-mata semakin dilihat berisiko, khususnya apabila harga minyak global mudah terdedah kepada ketegangan geopolitik, kelembapan ekonomi dunia dan perubahan dasar tenaga antarabangsa.

Langkah Terengganu mempelbagaikan sumber pertumbuhan dilihat sebagai strategi jangka panjang untuk memastikan ekonomi negeri terus relevan, kompetitif dan mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti kepada generasi akan datang.

Pelaburan catat momentum positif

Landskap pelaburan di Terengganu terus mencatat momentum positif dengan jumlah pelaburan komited bernilai RM4.3 bilion setakat September 2025, didorong oleh sektor tenaga boleh baharu. 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyifatkan pencapaian pelaburan itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap daya saing Terengganu sebagai destinasi pelaburan utama di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kemasukan pelaburan yang rancak ke negeri itu juga dapat dilihat dengan jelas apabila Kemaman kini muncul sebagai hab industri strategik baharu negara.

Pelaburan bernilai RM5.76 bilion oleh JXR Manufacturing Sdn Bhd bagi pembangunan loji pemprosesan alumina di daerah itu bukan saja membawa limpahan ekonomi besar, malah meletakkan Terengganu dalam rantaian bekalan mineral kritikal dunia yang kini menjadi rebutan kuasa ekonomi global.

Terengganu pacu transformasi ekonomi masa hadapan

Dalam era peralihan tenaga dan ledakan teknologi hijau, permintaan terhadap mineral strategik untuk bateri, panel solar dan kenderaan elektrik meningkat secara mendadak.

Kedudukan Kemaman sebagai pusat pemprosesan mineral memberi kelebihan besar kepada Terengganu untuk muncul sebagai pemain penting dalam ekosistem industri masa depan Asia Tenggara.

Momentum itu diperkukuhkan lagi melalui peranan Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) yang menyediakan infrastruktur pelabuhan dan logistik bagi menyokong pertumbuhan industri di negeri berkenaan.

Malah, EPIC kini bukan lagi sekadar pemain logistik tempatan, sebaliknya semakin mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat perkhidmatan minyak dan gas nasional yang kompetitif.

Anak syarikatnya, EPIC OG Sdn Bhd yang memperoleh kontrak utama daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali), anak syarikat milik penuh PETRONAS bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pentauliahan dan pengubahsuaian (MCM) dan penyambungan dan pentauliahan (HUC) Pan Malaysia bagi Pakej A2 – (Aset Semenanjung Malaysia – Gas) sehingga 2029.

Perkembangan itu memberi isyarat penting bahawa syarikat berpangkalan di Terengganu kini sudah memiliki kemampuan teknikal dan kapasiti operasi untuk bersaing dalam ekosistem tenaga nasional pada skala lebih besar.

Ia juga memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi negeri bukan hanya bergantung kepada pelaburan luar, tetapi turut dipacu syarikat tempatan yang semakin matang dan berupaya menembusi rantaian nilai industri tenaga negara.

Lebih signifikan, lebih 84 peratus daripada tenaga kerja EPIC terdiri daripada anak tempatan Terengganu.

Angka itu membawa mesej penting bahawa pembangunan ekonomi yang berlaku bukan sekadar mencatat nilai pelaburan di atas kertas, tetapi turut diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran rakyat negeri sendiri.

Pembaharuan ekonomi Terengganu tidak hanya tertumpu kepada industri berat dan projek berskala besar semata-mata, malah negeri itu juga mula memberi penekanan serius terhadap aspek kesejahteraan rakyat, khususnya dalam sektor kesihatan.

TDM Bhd, syarikat di bawah Terengganu Inc memiliki hospital pakar komuniti yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan menerusi Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) iaitu KMI Kuala Terengganu Medical Centre.

Ia juga turut memiliki hospital pakar di beberapa negeri seperti KMI Kelana Jaya Medical Centre di Petaling Jaya, Selangor, KMI Kuantan Medical Centre di Kuantan, Pahang, KMI Taman Desa Medical Centre di Kuala Lumpur and KMI Tawau Medical Centre di Sabah. 

Ia memperlihatkan GLC negeri kini bukan sekadar berperanan sebagai pemegang aset tradisional, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor perkhidmatan bernilai tinggi seperti penjagaan kesihatan.

KMI Healthcare juga berada dalam kedudukan strategik untuk menjadi ‘Penyedia Penjagaan Kesihatan Pilihan yang Dipercayai’ dengan lokasinya yang mudah diakses.  

Rangkaian hospital pakarnya menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan perkhidmatan yang cekap pada harga yang berpatutan untuk manfaat komuniti. 

Dalam masa sama, negeri itu juga mula memainkan peranan penting dalam agenda peralihan tenaga negara.

Kerjasama strategik antara Tenaga Nasional Bhd, PETRONAS dan Terengganu Inc dalam pembangunan hab hidrogen hijau serta projek solar terapung hibrid di Tasik Kenyir memperlihatkan bagaimana Terengganu sedang memposisikan dirinya sebagai antara pusat tenaga hijau baharu Malaysia.

Penyertaan syarikat utiliti nasional dan pemain tenaga utama negara itu turut memberi gambaran bahawa projek tenaga hijau di Terengganu bukan lagi sekadar idea jangka panjang, tetapi sudah mula bergerak sebagai sebahagian daripada agenda strategik nasional.

Projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Tasik Kenyir dijangka muncul sebagai pembangunan solar terapung terbesar di Asia Tenggara, malah bakal menjana kira-kira RM10 juta setahun kepada kerajaan negeri.

Projek bernilai RM1.96 bilion dengan kapasiti sekitar 595 hingga 600 megawatt (MW) itu direalisasikan oleh Terengganu Terengganu Inc menerusi konsortium bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO). 

Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pula dianugerahkan kepada Cypark Resources Bhd.

Dengan adanya projek seperti itu membuka ruang kepada kemunculan industri baharu berasaskan teknologi bersih yang dijangka menjadi antara pemacu utama ekonomi global dalam dekad akan datang.

Bina ekonomi lebih seimbang

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berpandangan perkembangan itu menunjukkan Terengganu kini semakin berjaya membina ekonomi yang lebih seimbang dan tidak lagi terlalu bergantung kepada minyak dan gas.

Menurut beliau, negeri itu mula memperkukuh sektor pelancongan, pembuatan berasaskan sumber serta industri hiliran petroleum sebagai pelengkap kepada sektor tenaga tradisional.

“Peralihan ini penting bagi meningkatkan ketahanan ekonomi negeri terhadap turun naik harga komoditi global,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang melihat struktur ekonomi Terengganu kini jauh lebih pelbagai berbanding sedekad lalu.

Menurutnya, jika sekitar 2010 hampir separuh ekonomi negeri bergantung kepada minyak dan gas, menjelang 2025 sumbangan sektor itu dianggarkan berkurangan kepada 28 peratus.

Perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menunjukkan nilai ekonomi Terengganu meningkat ketara dari RM31.1 bilion pada 2015 kepada RM39.9 bilion pada 2024.

Sektor perkhidmatan menyumbang 51.9 peratus atau RM20.7 bilion kepada nilai ekonomi Terengganu pada 2024, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM14.6 bilion dan pertanian RM2.9 bilion.

Sektor perlombongan dan pengkuarian hanya menyumbang 0.6 peratus atau RM200 juta kepada nilai ekonomi negeri itu pada 2024.

Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka meningkatkan lagi unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Terengganu kepada RM48.2 bilion menjelang 2040.

Projek sepanjang 665 kilometer itu juga dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan pelaburan, perdagangan serta kemudahan mobiliti rakyat dan perkhidmatan kargo.

Laluan rel yang bermula dari Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang itu akan melewati 20 stesen baharu merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor.

Ia dijangka dapat mengurangkan waktu perjalanan di antara Kota Bharu dan Putrajaya ke sekitar empat jam. 

ECRL juga akan bersambung dengan pelbagai perkhidmatan rel yang lain seperti Express Rail Link (ERL), Mass Rapid Transit 2 (MRT2), dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Operasi komersial jajaran utama Kota Bharu ke Gombak dijangka bermula pada Januari 2027.

Provos dan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai turut mengakui Terengganu sedang bergerak daripada ekonomi berasaskan sumber kepada model ekonomi pelbagai sektor yang lebih mampan.

Beliau berkata, walaupun industri petroleum masih kekal sebagai penyumbang utama hasil negeri, asas ekonomi baharu yang sedang dibina memberi gambaran bahawa Terengganu kini berada di landasan untuk muncul sebagai negeri industri moden yang lebih seimbang.

Daripada hanya dikenali sebagai negeri minyak, Terengganu kini perlahan-lahan membentuk identiti baharu iaitu negeri yang memiliki gabungan kekuatan industri strategik, tenaga hijau, pelancongan premium, pertanian moden serta infrastruktur bertaraf masa depan.

Jika momentum ini dapat dikekalkan secara konsisten, Terengganu bukan saja mampu menjadi enjin pertumbuhan baharu Pantai Timur, malah berpotensi muncul sebagai antara model transformasi ekonomi negeri paling berjaya di Malaysia dalam dekad akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top