Johor boleh jadi model penyatuan politik Melayu – Wan Saiful

Johor boleh jadi model penyatuan politik Melayu – Wan Saiful

SHAH ALAM – Johor berpotensi menjadi negeri terkehadapan di Semenanjung dalam menyemarakkan amalan federalisme serta menjadi model penyatuan politik Melayu di negara ini.

Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sistem federalisme yang diamalkan Malaysia membenarkan kepelbagaian susunan politik di peringkat negeri tanpa terikat sepenuhnya kepada jajaran politik di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, amalan itu dapat dilihat di beberapa negara lain termasuk Jerman yang mempunyai susunan kerajaan negeri berbeza daripada kerajaan Persekutuan, selain turut berlaku di Malaysia apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan tetapi Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai pembangkang di Sarawak.

“Ini menunjukkan federalisme membenarkan kombinasi berbeza-beza di setiap negeri dan susun atur Persekutuan tidak mengekang susun atur negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Saiful berkata, Johor mempunyai peluang untuk melakar pendekatan baharu dengan membentuk kerjasama politik berasaskan penyatuan parti-parti Melayu sambil mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu yang tidak ekstrem.

Ujarnya, usaha itu mampu menjadi cerminan kepada semangat sebenar yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan serta mewujudkan model politik yang boleh dicontohi negeri-negeri lain.

Beliau turut menyambut baik cadangan yang dikemukakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa supaya penyusunan baharu politik Melayu dimulakan di Johor.

Menurutnya, beliau yakin Gerakan RESET juga terbuka terhadap cadangan berkenaan dan melihat Johor sebagai lokasi yang sesuai untuk memulakan usaha penyatuan itu.

“Alangkah baiknya jika gabungan UMNO, Pas dan RESET dapat membentuk kerajaan negeri Johor, seterusnya menjadikan Johor sebagai model untuk Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya.

Beliau berkata, isu penggunaan logo dan nama parti bukan halangan besar kerana ia hanya membabitkan aspek teknikal yang boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bersetuju mengenai prinsip penyatuan.

Jelasnya, Malaysia sebelum ini sudah menyaksikan kerjasama politik yang membolehkan calon daripada satu parti menggunakan logo parti lain atas dasar persefahaman politik.

“Atas dasar penyatuan, tidak mustahil satu logo yang sama digunakan oleh semua calon walaupun datang daripada parti berbeza atau diwujudkan logo baharu untuk gabungan baharu,” ujarnya.

Wan Saiful berkata, kerjasama politik di Johor juga tidak semestinya menjejaskan hubungan parti-parti terbabit di peringkat Persekutuan kerana kepelbagaian susunan pentadbiran adalah antara ciri utama sistem federalisme.

Beliau turut berpandangan bahawa parti yang meremehkan agenda penyatuan Melayu tidak wajar diberi sokongan, manakala parti yang semakin cenderung kepada PH atas kepentingan tertentu juga perlu ditolak.

“Johor boleh melakar sejarah melalui pilihan raya negeri ini. Rundingan perlu dilakukan dengan meletakkan matlamat penyatuan sebagai keutamaan tertinggi,” tambahnya.

 

 

Mesti Baca

Artikel Disyorkan

Scroll to Top