BANGKOK – Pasukan Lotus’s Malaysia mencipta kejayaan apabila muncul sebagai satu-satunya pasukan yang memenangi pingat emas dalam kategori berpasukan pada Thailand Ultimate Chef Challenge (TUCC) 2026, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan itu.
Kejayaan tersebut dicapai menerusi gandingan tiga cef Malaysia iaitu Muhammad Syafiq Syahmi Saidon, Leo Wong dan Yuventhiran Pillai Arumugam Pillai.
Mereka mewakili negara selepas muncul juara Kategori Profesional Masak-Masak Ceria 2025 anjuran Lotus’s Malaysia.
Pasukan Lotus’s Malaysia menyerlah dalam kategori Asian Gourmet Challenge apabila berjaya memikat hati juri menerusi sajian yang mengangkat kepelbagaian warisan kulinari Malaysia dengan sentuhan moden dan persembahan kreatif.
Antara hidangan yang dipersembahkan ialah Salad Gulung Kerabu Pucuk Paku dengan Emulsi Kelapa Panggang, Mousseline Otak-Otak Ikan Kembung bersama Sos Otak-Otak, Sup Tom Yam dengan Mozaik Udang, Patty Kambing Diperap dalam Sos Rogan Josh serta Ayam ‘Boxing’ bersama Kari Masala Hijau.
Pasukan itu turut menyajikan pencuci mulut Leum Kleun Lava bersama Semi-Freddo Teh Thai dan Teh Thai Hijau Buih.

Semua cef yang mengambil bahagian bergambar dalam TUCC 2026 di Bangkok, Thailand.
Kejayaan di pentas kulinari antarabangsa itu dicapai dalam pertandingan yang berlangsung di Dewan 4, IMPACT Muang Thong Thani, Bangkok, dari 26 hingga 30 Mei lalu.
Pertandingan berprestij itu menghimpunkan lebih 400 cef dari seluruh Asia dan beberapa negara lain untuk bersaing dalam pelbagai kategori.
TUCC yang diiktiraf oleh World Association of Chefs’ Societies (WACS) dianggap antara pertandingan kulinari paling berprestij di Asia dan menjadi penanda aras kecemerlangan, kreativiti serta inovasi dalam industri makanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lotus’s Malaysia, Saksit Panurach berkata, kemenangan itu bukan sahaja membanggakan pasukan, malah menjadi pencapaian penting buat industri kulinari negara.
“Menjadi satu-satunya pasukan yang memenangi pingat emas dan seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori berpasukan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa adalah pencapaian luar biasa.
“Lebih istimewa, ia dicapai pada penyertaan pertama kami dalam TUCC dan telah membuktikan bakat, dedikasi serta semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan cef Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu juga membuktikan keberkesanan platform Masak-Masak Ceria dalam mencungkil serta membangunkan bakat kulinari tempatan sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Pencapaian tiga cef ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai bakat kulinari berkualiti di pentas global,” tambah beliau.



