‘Akses MyKhas dua Ahli Parlimen digantung atas pilihan politik sendiri’ – Bryan Ng

‘Akses MyKhas dua Ahli Parlimen digantung atas pilihan politik sendiri’ – Bryan Ng

SHAH ALAM – Seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan keputusan menggantung akses sistem MyKhas kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen oleh kerajaan baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin turut menyifatkan tindakan itu sebagai akibat daripada pilihan politik yang dibuat kedua-dua wakil rakyat berkenaan.

Menurut beliau, penggantungan akses tersebut bukan disebabkan kesilapan pentadbiran atau tindakan yang menyasarkan individu tertentu, sebaliknya merupakan kesan institusi susulan pendirian politik yang diambil mereka.

“Penggantungan akses MyKhas bukanlah kecuaian pentadbiran atau tindakan terpilih terhadap mana-mana individu.

“Ia adalah hasil institusi yang berpunca daripada keputusan politik mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bryan berkata, peruntukan Parlimen merupakan amanah kepada rakyat dan tidak seharusnya digunakan bagi menyokong agenda politik yang boleh melemahkan kedudukan kerajaan sedia ada.

Menurutnya, kedua-dua Ahli Parlimen terbabit tidak boleh menyertai platform politik yang dilihat mencabar kerajaan sambil terus menuntut akses kepada sumber dan kemudahan yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Bryan memberi jaminan bahawa kebajikan penduduk di kawasan Petaling Jaya dan Subang tidak akan terjejas susulan tindakan tersebut.

Katanya, bantuan kepada rakyat, pembiayaan sekolah serta projek pembangunan komuniti di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) akan diteruskan menerusi penyelaras yang diiktiraf serta saluran alternatif kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mendakwa kedua-dua wakil rakyat berkenaan cuba menggambarkan diri mereka sebagai mangsa keadaan walaupun didakwa telah menunjukkan kecenderungan politik yang jelas sejak enam bulan lalu.

“Saya merujuk kepada kehadiran mereka pada majlis pelancaran Parti Bersama Malaysia pada 17 Mei lalu, sebuah platform politik baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Secara jelas, platform tersebut diwujudkan bagi mencabar kedudukan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

” Bahkan Wong Chen secara terbuka telah menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menggunakan tiket parti baharu itu dan bukannya PKR.

“Dengan menyelaraskan diri mereka bersama platform politik yang bersaing, mereka secara tidak langsung telah mengkhianati mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Beliau menambah, adalah tidak munasabah dari sudut politik bagi Kerajaan Perpaduan menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang didakwa bergerak menentang kerajaan.

Mengulas lanjut, Bryan berkata, kemenangan PH di kerusi bandar seperti Petaling Jaya dan Subang bukan semata-mata bergantung kepada populariti individu, sebaliknya hasil kekuatan jentera parti dan usaha kolektif akar umbi.

Beliau mendakwa Chean Chung sebelum ini kurang dikenali pengundi tempatan kerana pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya pada PRU15.

“Kemenangan beliau banyak dipengaruhi oleh platform PH serta kerja keras jentera parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Mengenai Wong Chen pula, Bryan Ng mendakwa Ahli Parlimen itu sekian lama menikmati kelebihan kerusi yang dianggap selamat sambil memainkan peranan sebagai pengkritik dalaman parti.

Beliau turut mengaitkan kritikan Wong Chen terhadap Kementerian Kewangan selepas tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) sebagai satu bentuk politik tidak konsisten.

“Beliau tidak boleh meletakkan dirinya sebagai tokoh pembangkang sambil terus menuntut akses kepada sumber yang berkaitan dengan kerajaan,” katanya.

Mesti Baca

Scroll to Top