Malim gunung hilang hampir seminggu di Everest ditemui masih hidup

Malim gunung hilang hampir seminggu di Everest ditemui masih hidup

KATHMANDU – Seorang malim gunung berpengalaman dari Nepal yang dilaporkan hilang selama enam hari di Gunung Everest dan dikhuatiri maut, ditemui masih hidup selepas berjaya merangkak turun ke Kem Pangkalan Everest pada Khamis.

Hillary Dawa Sherpa, yang berpengalaman luas menawan puncak tertinggi dunia itu, dilaporkan hilang sejak 30 Mei lalu ketika berada di kawasan tinggi Everest berhampiran zon maut (death zone) yang terkenal dengan paras oksigen sangat rendah.

Menurut syarikat ekspedisi 8K Expeditions yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat, Sherpa ditemui oleh pasukan Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (SPCC) berhampiran Kem Pangkalan Everest pada pagi Khamis.

“Dia ditemui dalam keadaan merangkak turun sendirian. Sebuah helikopter telah dihantar untuk membawanya ke hospital di Kathmandu,” kata wakil syarikat itu, Pemba Sherpa.

Kehilangannya sebelum ini mencetuskan kebimbangan kerana cuaca buruk serta keadaan ekstrem di Everest sering mengurangkan peluang untuk seseorang terus hidup selepas beberapa hari terperangkap di kawasan altitud tinggi.

Pendaki Britain dan bekas anggota Marin Diraja, Chris Thrall, yang mendaki bersama Sherpa berkata, mereka berjaya menawan puncak Everest pada 29 Mei sebelum memulakan perjalanan turun keesokan harinya.

Menurut Thrall, Sherpa berhenti berehat berhampiran Kem Empat pada ketinggian kira-kira 7,950 meter sebelum meminta beliau meneruskan perjalanan.

“Saya bertanya sama ada dia baik-baik saja dan dia menjawab semuanya baik serta meminta saya terus turun,” katanya.

Dalam perjalanan menuruni gunung, Thrall menemui seorang pendaki Poland yang mengalami radang dingin dan kehabisan bekalan oksigen tambahan, menyebabkan beliau terpaksa memberi bantuan kecemasan kepada pendaki tersebut.

Keadaan cuaca yang mencabar menyebabkan perjalanan turun yang biasanya mengambil masa kira-kira dua jam berlanjutan sehingga 11 jam.

Operasi mencari kemudian dilancarkan, namun Sherpa gagal dikesan sehingga beliau muncul semula enam hari kemudian selepas berjaya turun sendiri dari kawasan berbahaya itu.

Musim pendakian Everest tahun ini mencatat rekod baharu dengan lebih 1,000 pendaki berjaya menawan puncak setinggi 8,849 meter itu.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya lima kematian turut direkodkan sepanjang musim pendakian kali ini, termasuk dua pendaki dari India dan tiga warga Nepal yang terlibat dalam kerja-kerja persediaan laluan pendakian.-Agensi

Mesti Baca

Scroll to Top