bhnews@bh.com.my
TUMPAT: Bagai ‘dilanggar garuda’. Itulah perumpamaan tepat yang boleh digambarkan, situasi yang berlaku di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor ketika ini.
Pintu utama untuk masuk ke destinasi membeli-belah yang sudah bertapak sejak 32 tahun lalu itu sudah ditutup serta dimangga menunjukkan, sudah tiada urus niaga berlaku.
Pengerusi Persatuan Peniaga-peniaga Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, Halim Husin, berkata destinasi membeli-belah yang sedia suram sejak tahun lalu itu sudah ditutup, bermula sekatan pergerakan penuh pada 4 Jun lalu.
“Walau ada peniaga makanan dan kedai makan yang dibenarkan berniaga di dalam kawasan itu, ia tidak berbaloi kerana sudah tiada pengunjung, lebih-lebih lagi pelaksanaan sekatan pergerakan penuh tidak membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer radius.
“Sejak tahun lalu lagi urus niaga sudah terkesan dan sepanjang setahun ini keadaan hampir 200 peniaga dalam kawasan ini terumbang-ambing,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Halim berkata, disebabkan keadaan semakin teruk, hampir separuh daripada peniaga sudah gulung tikar manakala selebihnya bertahan dengan cuba berjinak-jinak berniaga melalui dalam talian walaupun terdapat persaingan besar menerusi platform itu.
Katanya, permohonan pengecualian sewaan lot kedai terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik bangunan persendirian akan dibuat dalam kadar segera memandangkan sekatan pergerakan penuh disambung sedangkan, keadaan peniaga semakin meruncing serta boleh dikatakan, langsung tiada pendapatan.
“Bagi sewaan dengan PBT, kadar sewa adalah antara RM200 hingga RM300 sebulan manakala persendirian pula mencecah RM1,000 sebulan dan jika keadaan ini berterusan, sudah pasti lebih ramai peniaga akan putus asa dan gulung tikar,” katanya yang turut menjalankan perniagaan perkakas dapur dan tilam nipis.
Peniaga, Nor Azimah Che Ibrahim, 37, berkata sejak awal PKP tahun lalu lagi dia sudah mengambil pendekatan menjalankan urus niaga dalam talian walau hasilnya tidak selumayan berniaga secara langsung.
“Pada awalnya memang saya ‘merangkak’ menggunakan gajet untuk berniaga, tapi platform dalam talian itulah penyelamat walaupun untung tidak sebanyak jika berniaga di kedai.
“Zon bebas cukai ini semakin tidak bernyawa dan dua tiga hari sekali saya akan jenguk masuk ke kedai memeriksa barangan sambil mengambil barangan yang ditempah pelanggan melalui jualan dalam talian,” katanya yang mengambil alih perusahaan perniagaan barangan dapur daripada ibunya sejak 30 tahun lalu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat, berkata kawasan zon bebas cukai itu ditutup susulan sekatan pergerakan penuh, memandangkan tiada langsung pengunjung manakala peniaga mengambil pendekatan menjalankan urus niaga dalam talian.
“Sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh baru-baru ini, operasi perniagaan dalam kawasan itu ditutup kerana peniaga tiada ‘mood’ untuk berniaga. Ia berikutan, pengunjung rata-ratanya terdiri daripada orang luar tidak boleh melakukan pergerakan lebih daripada 10km radius dan rentas daerah atau negeri.
“Sebaik tamat PKP dan sekatan pergerakan penuh nanti, kawasan zon bebas cukai itu akan dibuka semula dan kita harapkan urus niaga dapat kembali berjalan lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




