Tehran: Kanak-kanak berlari sambil menggelecek bola di sebuah akademi bola sepak di Tehran dengan jurulatih lantang memberi arahan ketika kakitangan akademi memaklumkan demam Piala Dunia menarik semula golongan muda selepas beberapa bulan negara itu dibelenggu peperangan.
Konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan ramai remaja memilih untuk kekal di rumah, namun jurulatih di akademi berkenaan berkata kejohanan bola sepak terbesar dunia itu kembali menarik mereka ke padang.
“Disebabkan situasi perang, jumlah pelajar kami lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Namun sekarang Iran sudah layak ke Piala Dunia, syukur kepada Tuhan, pendaftaran meningkat dengan ketara,” kata pentadbir bola sepak berpengalaman yang menyelia program pembangunan remaja di akademi itu, Mohammad Ghiasi.
Skuad kebangsaan Iran yang dikenali sebagai Team Melli muncul antara pasukan terawal mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama Kanada, Mexico dan musuh tradisi mereka, AS.
Kemeriahan kejohanan itu hadir ketika Iran memburu penampilan bersejarah pertama di pusingan kalah mati.
Team Melli memulakan kempen dengan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand dan bakal berdepan Belgium dalam aksi kedua Kumpulan G, Ahad ini, sebelum menentang Mesir.
Penyertaan Iran dalam kejohanan itu sebelum ini dibayangi beberapa pertikaian yang memaksa mereka memindahkan kem latihan dari Arizona ke bandar sempadan Mexico, Tijuana, manakala pegawai Iran sebelum ini mendakwa 15 anggota delegasi mereka tidak diberikan visa AS.
Perang bermula pada 28 Februari selepas serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran yang kemudian dibalas dengan serangan ke atas Israel serta sekutu AS di rantau itu.
Perjanjian yang dicapai bulan ini antara Tehran dan Washington dijangka menamatkan konflik yang menyaksikan lebih lima minggu peperangan sebelum gencatan senjata dicapai pada awal April.
Pertempuran itu mengganggu aktiviti pendidikan di seluruh Iran apabila banyak program dihentikan atau dipindahkan secara dalam talian, sekali gus memberi kesan kepada kehadiran di akademi sukan.
Ghiasi menganggarkan antara 400 hingga 500 remaja masih mengikuti program di akademi berkenaan walaupun negara itu dilanda konflik.
Jurulatih Peyman Eghbali berkata jumlah peserta merosot ketika kemuncak peperangan, namun kembali meningkat apabila tumpuan mula beralih kepada Piala Dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




