
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Istana Negara pada Khamis. foto: FB Hannah Yeoh
SHAH ALAM – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan bahawa Kuala Lumpur milik semua rakyat yang mana setiap keputusan yang dibuat berhubung pembangunan dan tadbir urus perlu mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan ibu negara.
Perkara itu dizahirkan baginda ketika berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Istana Negara pada Khamis.
Hannah menerusi hantaran di Facebook menghargai pesanan tersebut dan menjadikan ia panduan dalam setiap usaha memperbaiki tadbir urus, perancangan dan pembangunan ibu negara.

Hannah mempersembahkan taklimat berhubung perkembangan reformasi Kuala Lumpur ketika menghadap Sultan Ibrahim di Istana Negara pada Khamis. fptp: FB Hannah Yeoh
“Baginda turut menegaskan bahawa proses pewartaan kawasan yang perlu dilindungi tidak harus ditangguhkan.
“Perkara ini amat penting bagi memastikan kawasan yang mempunyai nilai kepada warga kota terus dipelihara,” katanya lagi.
Terdahulu, Hannah mempersembahkan taklimat berhubung perkembangan reformasi Kuala Lumpur termasuk usaha melindungi kawasan hijau dan kolam takungan serta kemajuan dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memperkukuh tadbir urus di Wilayah Persekutuan.
“Patik menjunjung kasih atas pandangan, nasihat dan keprihatinan baginda terhadap masa depan Kuala Lumpur dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.



