Agong zahir nasihat kepada KP SPRM, tegas banteras rasuah tanpa pilih kasih

Agong zahir nasihat kepada KP SPRM, tegas banteras rasuah tanpa pilih kasih

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman agar melaksanakan amanah yang dipikul dengan penuh integriti.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa usaha membanteras gejala rasuah di negara ini perlu dilaksanakan secara berterusan, tegas dan tanpa pilih kasih demi memastikan integriti serta kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.

Nasihat itu dizahirkan ketika Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Abdul Halim di Istana Negara, hari ini.

Sebelum ini, pada 25 April lalu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Abdul Halim yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei lalu, menggantikan Tan Sri Azam Baki.

Pelantikan tersebut dilihat sebagai kesinambungan usaha memperkukuh institusi penguatkuasaan dalam memastikan agenda pembanterasan rasuah terus diperkasa di peringkat nasional.

Scroll to Top