FIFA larang penyokong bawa botol kosong ke stadium Piala Dunia

FIFA larang penyokong bawa botol kosong ke stadium Piala Dunia
FIFA larang penyokong bawa botol kosong ke stadium Piala Dunia

Penyokong tidak dibenarkan membawa botol air kosong ke dalam stadium semasa perlawanan Piala Dunia. Foto AFP

DI sebalik jangkaan suhu melebihi 30 darjah Celsius di Amerika Syarikat (AS), Kanada, dan Mexico semasa Piala Dunia, penyokong tidak akan dibenarkan membawa botol air kosong ke dalam stadium, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Atas faktor keselamatan, badan induk bola sepak dunia FIFA telah meminda bahagian berkaitan dalam garis panduannya, yang kini menyatakan: “Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, botol air boleh guna semula tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.”

Menurut laporan media, pemegang tiket telah pun dimaklumkan mengenai perubahan peraturan tersebut.

Larangan itu berkemungkinan besar akan menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengunjung, memandangkan peminat tidak lagi dapat mengisi semula botol kosong mereka di air pancut minuman atau mesin penapis air.

Sebelum ini, FIFA mengumumkan bahawa botol plastik kosong, lutsinar, dan boleh guna semula dengan kapasiti sehingga satu liter dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium.

Setakat ini masih belum jelas berapakah harga botol air yang akan dijual di stadium.

Menurut portal berita The Athletic, vanue perlawanan mengenakan caj antara AS$4 dan AS$6 untuk sebotol air semasa Piala Dunia Kelab tahun lepas.

Pakar telah berulang kali memberi amaran bahawa jangkaan suhu tinggi boleh mendatangkan risiko kepada penyokong dan pemain.

FIFA telah memperkenalkan rehat hidrasi selama tiga minit pada setiap separuh masa perlawanan sepanjang kejohanan itu.

Piala Dunia dijadualkan bermula pada 11 Jun hingga 19 Julai. – Bernama-dpa

 

 

 

Mesti Baca

Scroll to Top