nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad berhubung hasil siasatan kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris iaitu pelajar tahfiz ditemui mati dipercayai dibunuh pada 2013.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pihaknya masih meneliti kertas siasatan yang diserahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Beri kami sedikit masa untuk meneliti kertas siasatan dan kami akan buat keputusan yang muktamad nanti,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris berharap agar hasil siasatan berhubung kes anaknya didedahkan.
Ibunya, Ruhani Hussin, 71, dilaporkan berkata hingga kini mereka sekeluarga tidak mengetahui perkembangan terkini berhubung kes siasatan anaknya itu.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.
Pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kes itu sebagai kematian mengejut yang tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.
Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian Wan Ahmad Faris disebabkan oleh tindakan individu yang tidak dikenal pasti.
Bagaimanapun, pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




