Belia beriman, kuat dicintai ALLAH

Belia beriman, kuat dicintai ALLAH

ISLAM mengajarkan umatnya agar menjadi umat yang kuat, mulia dan berpegang teguh kepada agama.

Antara golongan yang sangat penting dalam membina kekuatan umat ialah para belia kerana mereka merupakan tenaga umat, harapan masyarakat dan pewaris masa depan Islam.

“Jika baik para belia, maka baiklah masa depan umat. Jika rosak para belia, maka rosaklah generasi akan datang.

“Oleh sebab itu, para belia mesti membina jati diri Islam yang kuat dan belia yang kuat jati dirinya ialah belia yang dicintai ALLAH SWT,” ucap khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Perlis baru-baru ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai ALLAH berbanding Mukmin yang lemah. Dan pada kedua-duanya ada kebaikan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Jabatan Mufti Perlis, hadis ini menunjukkan Islam sangat menekankan kekuatan iman, ilmu dan akhlak dalam diri seorang Muslim.

“Kuat bukan sekadar fizikal, tetapi juga merangkumi kekuatan iman, keteguhan prinsip, kesungguhan beramal dan daya tahan menghadapi cabaran hidup.

“Semakin kuat seorang belia dalam pegangan agamanya, semakin besar kecintaan ALLAH terhadapnya,” ujarnya.

Kuat jati diri

Menurut khatib, belia yang kuat jati dirinya tidak mudah terpengaruh dengan maksiat, tidak mudah mengikut budaya yang rosak dan tidak sanggup meninggalkan agama demi kepentingan dunia.

“Mereka menjaga solat walaupun berada dalam suasana lalai, berkata benar walau susah dan mempertahankan agama ketika diuji,” jelasnya.

Dalam membina belia yang memiliki jati diri yang kuat, beriman serta dicintai ALLAH dan masyarakat, Islam mengajarkan umatnya supaya melaksanakan beberapa perkara yang perlu difahami dan diamalkan, antaranya:

1 – Memantapkan akidah

Asas kekuatan seorang Muslim terletak pada akidah yang benar dan tanpa akidah yang sahih itu, seseorang mudah terdedah kepada kesesatan, syirik serta fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Apabila pemuda memiliki iman yang benar kepada ALLAH, maka DIA akan menambahkan kepada mereka petunjuk, kekuatan jantung hati, keteguhan pendirian serta keberanian dalam mempertahankan kebenaran.

Inilah asas utama jati diri belia Muslim yang sebenar.

2 – Membina akhlak mulia

Akhlak merupakan cerminan sebenar iman seseorang dan belia Muslim sepatutnya menghiasi diri dengan akhlak yang mulia seperti jujur, amanah, menjaga pandangan, menjauhi maksiat serta memelihara maruah diri dan keluarga.

Dalam dunia media sosial yang semakin terbuka luas, cabaran akhlak menjadi semakin besar dan sukar.

Oleh itu, pembinaan akhlak perlu dilakukan secara berterusan dan bukan hanya di hadapan manusia sahaja, tetapi juga ketika bersendirian kerana ALLAH sentiasa memerhatikan setiap perbuatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara orang yang paling aku cintai dan paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat ialah mereka yang paling baik akhlaknya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

3 – Menguasai ilmu dan kemahiran

Belia Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu agama dan juga kemahiran dunia seperti teknologi, perniagaan, perubatan, kejuruteraan dan pelbagai bidang profesional lain.

Semua ini merupakan kekuatan penting dalam membina umat yang maju dan Islam tidak memisahkan antara urusan dunia dan akhirat.

Bahkan para sahabat RA terdiri daripada pelbagai latar belakang kemahiran, namun tetap unggul dalam ibadah pengabdian kepada ALLAH.

4 – Prihatin terhadap masyarakat dan keadaan umat

Seorang belia Muslim tidak seharusnya hidup dalam kejahilan terhadap keadaan masyarakat dan isu umat. Mereka perlu peka terhadap cabaran sosial, kerosakan akhlak serta isu yang menimpa umat Islam.

Keprihatinan terhadap masyarakat merupakan tanda keimanan yang hidup dan sebaliknya, sikap tidak peduli terhadap kerosakan sosial menunjukkan kelemahan jiwa dan iman.

5 – Belajar daripada pengalaman hidup

Kematangan seseorang tidak bergantung kepada umur semata-mata, tetapi sejauh mana dia belajar daripada pengalaman hidup dan sejarah umat terdahulu.

Al-Quran menggalakkan manusia untuk mengambil pengajaran daripada perjalanan hidup di muka bumi agar mereka menjadi lebih bijak dan berhikmah.

Pengajaran daripada kehidupan akan membentuk kematangan, kebijaksanaan serta kekuatan dalam membuat keputusan bagi seorang belia.

Menurut Jabatan Mufti Perlis, belia yang beriman dan kuat ialah mereka yang menjadikan agama sebagai panduan hidup, teguh akidah, berakhlak mulia serta bersungguh dalam ilmu dan peduli umat.

“Mereka menjadi kekuatan agama, keluarga dan masyarakat. Usia muda hendaklah dimanfaatkan dengan iman, ilmu serta amal soleh dan bukannya disia-siakan dengan kelalaian.

“Inilah jalan menuju kemuliaan dunia serta akhirat dan lahirnya generasi yang istiqamah di jalan ALLAH SWT,” tegasnya.

Mesti Baca

Scroll to Top