PETRONAS tutup sementara saluran paip di Songkhla

PETRONAS tutup sementara saluran paip di Songkhla

mahanum_aziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Trans Thai-Malaysia (Thailand) Limited (TTM), syarikat usaha sama antara PTT dan PETRONAS melaksanakan penutupan sementara Saluran Paip Eksport Songkhla sebagai langkah berjaga-jaga berikutan satu isu yang dikenal pasti ketika pemeriksaan rutin.

Penutupan itu juga bagi melindungi integriti saluran paip dan memastikan operasi dijalankan dengan selamat.

“PETRONAS menyedari kesan yang mungkin timbul terhadap bekalan gas kepada pelanggan di Malaysia dan Thailand dan langkah proaktif sedang diambil bagi memastikan kesinambungan bekalan kepada pelanggan di Malaysia.

“Rangkaian bekalan bersepadu PETRONAS menyediakan fleksibiliti untuk mengekalkan bekalan, dan syarikat itu bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serta pelanggan bagi memastikan kestabilan sistem,” katanya dalam satu kenyataan.

PETRONAS berkata, saluran paip berkenaan hanya akan kembali beroperasi selepas disahkan selamat untuk digunakan.

Katanya, pihaknya kekal memberi tumpuan kepada pematuhan standard keselamatan dan integriti operasi tertinggi, di samping memastikan kebolehpercayaan bekalan kepada pelanggan domestik bagi menyokong keselamatan tenaga Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top