PERISTIWA tragis yang meragut nyawa pelajar di kawasan sekolah baru-baru ini bukan sekadar sebuah kemalangan, tetapi satu ujian besar yang menggugah hati masyarakat.
Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan insan tersayang manakala seorang guru berhadapan penyesalan yang mendalam.
Pensyarah Kanan Perubatan & Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Abdul Rahman Ramdzan menjelaskan dalam ajaran Islam, setiap nyawa merupakan amanah yang amat berharga sebagaimana firman ALLAH SWT:
“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32)
“Dalam ayat ini, ALLAH SWT menegaskan bahawa membunuh satu nyawa tanpa hak seolah-olah membunuh seluruh manusia dan prinsip ini selari dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz an-nafs).
“Justeru, sebarang kecuaian yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa perlu dilihat dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus.
Isu keselamatan yang boleh dicegah
Sambungnya, dari sudut kesihatan awam, kejadian seperti ini tidak hanya dilihat sebagai insiden individu, tetapi sebagai sebahagian daripada isu keselamatan yang boleh dicegah.

DR ABDUL RAHMAN
“Kemalangan di kawasan sekolah merupakan antara risiko yang perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja yang lebih terdedah kepada bahaya.
“Dalam pendekatan kesihatan awam, keselamatan jalan raya merupakan satu komponen penting dalam usaha mencegah kecederaan dan kematian,” hurainya.
Jelasnya, konsep pencegahan primer menekankan usaha mengelakkan kejadian sebelum ia berlaku termasuklah dalam penyediaan persekitaran sekolah yang selamat, had laju yang rendah, papan tanda amaran yang jelas serta kawalan trafik yang berkesan.
“Selain itu, kesedaran dalam kalangan pemandu untuk lebih berhati-hati di kawasan sekolah adalah sangat penting.
“Sikap tergesa-gesa atau lalai walau sesaat boleh membawa akibat yang tidak terjangka,” katanya.
Dari sudut pencegahan sekunder pula ujarnya, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh bagi memastikan setiap individu mematuhi peraturan keselamatan.
“Pencegahan tertier pula melibatkan pengurusan kes selepas kejadian, termasuk sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan individu terlibat,” jelasnya.
Menurut Dr Abdul Rahman, tragedi ini juga mengingatkan tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental pemandu seperti keletihan, tekanan emosi atau masalah kesihatan tertentu yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang mengendalikan kenderaan dengan selamat.

PELAJARAN keselamatan di kawasan sekolah dan jalan raya juga patut kerap dilaksanakan kepada para pelajar. Foto Canva
“Dalam Islam, menjaga diri daripada memudaratkan orang lain merupakan satu kewajipan.
“Oleh itu, memastikan diri berada dalam keadaan yang baik sebelum memandu adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral dan sosial,” jelasnya lagi.
Memaafkan akhlak terpuji
Menyambung hujah, beliau menyatakan, di sebalik kesedihan yang melanda, sikap keluarga mangsa yang memilih untuk memaafkan merupakan satu contoh keindahan akhlak Islam.
ALLAH SWT berfirman: “Dan hendaklah mereka memaafkan serta berlapang dada. Tidakkah kamu suka ALLAH memaafkan kamu?” (Surah an-Nur: 22)
Ujarnya, kemaafan bukan bermaksud melupakan kesalahan, tetapi satu jalan untuk mencapai ketenangan jiwa dan mengelakkan permusuhan berpanjangan.
“Dalam masa sama, Islam juga mengiktiraf hak mangsa dan kepentingan keadilan. Kedua-dua aspek ini perlu diseimbangkan dengan hikmah.
“Rasulullah SAW menunjukkan teladan apabila Baginda memaafkan Wahsyi yang membunuh Hamzah RA, namun tetap menjaga batas emosi demi kesejahteraan diri.
“Ini menunjukkan kemaafan dan pengurusan trauma perlu ditangani secara bijaksana dengan mengambil kira keadaan emosi semua pihak,” hurainya.
Dalam situasi ini juga katanya, peranan masyarakat amat penting termasuk sokongan moral, empati dan penghormatan terhadap ruang peribadi keluarga mangsa yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial.

SENTIASALAH berhati-hati ketika memandu di sekitar kawasan sekolah demi kemaslahatan pelajar. Foto Canva
“Dalam kesihatan awam, pendekatan secara menyeluruh menekankan bahawa kesejahteraan tidak hanya bergantung kepada individu, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Sebagai akhirnya, tragedi ini mengingatkan bahawa kehidupan merupakan satu pinjaman yang sangat singkat, tegasnya.
“Setiap tindakan perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab kerana kesannya bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain.
“Mengutamakan keselamatan, menjaga nyawa dan mengamalkan nilai kemaafan merupakan asas kepada masyarakat yang sejahtera.
“Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada semua untuk lebih berhati-hati, lebih berempati dan lebih menghargai setiap detik kehidupan,” nasihatnya.



