Farhan belum fikir bersara, mahu beraksi di Sukan SEA 2027

Farhan belum fikir bersara, mahu beraksi di Sukan SEA 2027

sukan@hmetro.com.my

Sepang: Ketua pasukan sepak takraw negara, Farhan Adam masih belum memikirkan soal persaraan, sebaliknya bersedia meneruskan khidmat bersama skuad negara sekurang-kurangnya sehingga Sukan SEA 2027 di Malaysia, tahun depan.

Menurut Farhan, Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi penampilan terakhirnya di temasya berkenaan, namun dia masih terbuka untuk beraksi pada temasya dwitahunan itu selagi khidmatnya diperlukan.

“Oh, belum lagi (bersara). Kita tunggu tahun depan lah sebab tahun depan Sukan SEA dan Malaysia tuan rumah.

“Tapi Sukan Asia ini memang yang terakhir untuk saya, Sukan Asia memang yang terakhir. Sukan SEA nanti kita tengok macam mana. Selagi diperlukan, insya-Allah. Saya masih berada dalam pasukan,” katanya ketika ditemui di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi.

Farhan adalah pemain paling senior dalam skuad sepak takraw negara ketika ini dan pemain berusia 37 tahun itu sudah melalui pelbagai episod suka duka termasuk meraih kejuaraan penting bersama pasukan berkenaan.

Biarpun usia hampir mencecah 40 tahun, aksi di atas gelanggang masih ‘berbisa’ apabila dia menjadi antara tonggak penting Malaysia menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas dalam acara regu berpasukan di Sukan Asia Aichi-Nagoya, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi Beijing 1990.

Ketika ditanya sama ada Sukan SEA 2027 berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad negara, Farhan tidak menolak kemungkinan berkenaan tetapi ketika ini, fokusnya adalah mengekalkan kecergasan pada tahap tertinggi.

Farhan menyifatkan kejayaan skuad negara di Sukan Asia kali ini sebagai kemenangan bersama selepas setiap pemain memberikan lebih daripada 100 peratus komitmen sepanjang perjuangan mereka.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan setiap pemain tidak boleh berasa selesa sekiranya mahu terus berada di tahap terbaik.

“Saya lihat ini kemenangan bersama kerana masing-masing memberikan lebih daripada 100 peratus dan mereka masih lagi, orang kata, untuk menjadi yang terbaik, kita tak boleh berehat.

“Jadi, kita kena lebih baik dan lebih baiklah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top