KUSKOP sasar 50,000 pengunjung Karnival HPM Johor

KUSKOP sasar 50,000 pengunjung Karnival HPM Johor

SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung sempena penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 Edisi Johor yang akan membuka tirainya secara rasmi di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall pada Jumaat.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga 7 Jun ini akan beroperasi dari jam 10 pagi hingga 10 malam dengan membawa tema ‘Usahawan Digital Mendunia’.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, program itu adalah antara inisiatif yang dicetuskan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Cetusan itu bagi memperkasakan usahawan tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta peniaga mikro melalui peningkatan akses pembiayaan, pemerkasaan dan pengiktirafan.

 KHAIRUL DZAIMEE

 KHAIRUL DZAIMEE

Beliau berkata, karnival berkenaan menjadi platform kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada masyarakat, di samping memperluaskan peluang perniagaan serta jaringan pasaran.

“Bagi edisi Johor, seramai 99 peserta terbabit secara langsung membabitkan 60 usahawan di bawah agensi KUSKOP, 17 usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), 10 peserta Selera Selatan, sembilan pengusaha trak makanan, dua Perusahaan Sosial (SE) atau Perniagaan Inklusif (IB) serta satu penyertaan di bawah JMKU.

“Secara keseluruhan di empat lokasi penganjuran, kementerian menyasarkan penglibatan 460 usahawan dengan sasaran kehadiran 50,000 pengunjung.

“Program ini turut disasarkan menjana RM100,000 jualan tunai usahawan, RM1 juta potensi padanan perniagaan serta RM2 juta potensi pembiayaan usahawan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Selain Johor, Karnival HPM dan Mini Showcase SDSI 2026 turut dijadualkan berlangsung di Morten Walk, Melaka dari 19 hingga 21 Jun dengan tema ‘Jom Singgah SDSI’; Penang Waterfront Convention Centre, Pulau Pinang dari 17 hingga 19 Julai bertemakan ‘Melonjak Jaguh Lokal’; serta Tapak Tamu Borobon, Manggatal, Sabah dari 7 hingga 9 Ogos dengan tema ‘Anjung Rakyat’.

Mengulas pengisian sepanjang tiga hari penganjuran karnival itu berlangsung, Khairul Dzaimee berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk pameran dan jualan produk serta perkhidmatan PMKS tempatan.

Beliau berkata, Jualan MADANI KUSKOP turut diadakan setiap hari termasuk slot ‘Happy Hour’ pada waktu tertentu yang menawarkan harga istimewa bagi barangan keperluan asas seperti beras, tepung, bahan pencuci, ayam, daging, telur dan minyak masak.

“Karnival ini juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif termasuk sesi bersama pempengaruh media sosial, usahawan selebriti, perkongsian ilmu perniagaan serta aktiviti kekeluargaan seperti pertandingan mewarna kanak-kanak.

No Image Caption

“Turut diadakan Cabaran TikTok menerusi TikTok 12 Hours Challenge yang memberi peluang kepada usahawan mempromosikan produk masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata, usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri, turut mengesahkan kehadiran untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Pemasaran Digital: Jom Terpaling Laris” pada Sabtu ini jam 12 tengah hari.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi sesi cabutan bertuah yang diadakan setiap hari sepanjang karnival berlangsung.

Khairul Dzaimee berkata, penganjuran karnival itu dijangka memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui peningkatan jualan usahawan, promosi produk tempatan serta pengukuhan hubungan dalam kalangan masyarakat.

“Produk tempatan seperti makanan, kraftangan dan hasil industri kecil dapat diperkenalkan kepada pengunjung dari luar daerah sekali gus membantu meningkatkan penjenamaan serta populariti produk berkenaan.

“Pada masa sama, karnival ini menghimpunkan penduduk dan peniaga dalam satu program yang mampu memupuk semangat kerjasama serta mengeratkan hubungan komuniti,” ujarnya lagi.

Penganjuran karnival itu mendapat kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk TikTok Shop, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Bank Rakyat, SME Bank, UDA Holdings Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Media Prima.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai khususnya warga Johor dan kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Johor 2026 serta menyokong usahawan tempatan dengan membeli produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung.

Mesti Baca

Scroll to Top