Rugi hampir setengah juta gara-gara fast loan scam

Rugi hampir setengah juta gara-gara fast loan scam

GEORGE TOWN : Seorang usahawan kerugian hampir RM400,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman segera dalam talian (fast loan scam) yang memperdayakannya menerusi iklan di Facebook ketika berdepan masalah aliran tunai syarikat sejak dua tahun lalu. 

Mangsa, Bryan Teow, 50, berkata, kejadian bermula pada Ogos 2024 ketika berdepan masalah aliran tunai susulan beberapa cabaran kewangan melibatkan syarikatnya di Hong Kong.

Teow berkata, dia kemudian tertarik dengan satu pautan iklan pinjaman segera yang dipercayai ditawarkan oleh sebuah institusi perbankan sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

“Saya tidak membuat semakan terperinci dan memilih untuk mempercayai apa yang dimaklumkan kerana ketika itu saya perlu menyelesaikan beberapa perkara mendesak berkaitan syarikat saya di Hong Kong. 

“Saya hanya meminjam RM20,000, tetapi, saya perlu membayar semula pinjaman sehingga berjumlah RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Teow yang berasal dari Tanjung Bunga berkata, selepas itu, dia berdepan tekanan berterusan termasuk ugutan serta tuntutan wang tambahan oleh sindiket terbabit walaupun telah memenuhi pelbagai permintaan yang dikenakan.

Katanya, sindiket berkenaan turut menunjukkan gambar dan maklumat berkaitan syarikat miliknya selain mengugut untuk mengganggu operasi perniagaan selain kehidupan peribadinya sekiranya gagal memenuhi tuntutan yang dibuat.

“Sepanjang hampir 20 bulan, saya memilih untuk berdiam diri kerana berharap masalah ini akan berakhir jika saya terus memberikan kerjasama. Namun saya sedar bahawa berdiam diri bukanlah penyelesaian. Saya akhirnya membuat laporan polis pada 29 Mei lalu.

“Titik perubahan berlaku apabila saya menyedari tindakan yang betul ialah mendapatkan bantuan melalui saluran undang-undang dan bukannya terus hidup dalam ketakutan,” katanya.

Sementara itu, Zairil berkata, kes berkenaan menunjukkan bagaimana sindiket penipuan dalam talian kini semakin berani apabila bukan sahaja menipu mangsa dari segi kewangan, malah menggunakan taktik pemerasan dan gangguan jenayah secara agresif.

Mangsa dipercayai telah membuat pembayaran kepada sindiket berkenaan melalui sembilan akaun bank berbeza yang melibatkan individu serta syarikat berlainan sebelum tampil membuat laporan polis pada 29 Mei lalu. – UTUSAN

Scroll to Top