Pakistan balas dendam, skuad negara sekadar tempat ke-4

Pakistan balas dendam, skuad negara sekadar tempat ke-4

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki Bawah 18 Tahun (B-18) negara menamatkan saingan di tempat keempat Piala Asia B-18 selepas tewas kepada Pakistan 0-3 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Pakistan membalas dendam selepas tewas 2-3 kepada Malaysia dalam aksi Kumpulan B.

Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom dikejutkan dengan jaringan seawal minit ketiga apabila Uzair Ahmad Qureshi meletakkan Pakistan di hadapan 1-0 menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia cuba mengatur semula serangan untuk mendapatkan gol penyamaan, namun Pakistan begitu ampuh dalam bertahan dan mengambil kesempatan itu untuk meledak gol kedua menerusi Haider Asam pada minit ke-23.

Pemain negara beberapa kali memperoleh peluang untuk merapatkan kedudukan, namun peluang menerusi pukulan sudut penalti dipersia-siakan begitu sahaja.

Sebaliknya, Pakistan terus mengukuhkan kedudukan apabila Adeel menjaringkan gol ketiga pada minit ke-58.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian tahun lalu apabila menamatkan cabaran di tempat ketiga.

Terdahulu, hasrat Malaysia untuk ke final musnah apabila dimalukan Jepun di separuh akhir semalam dengan kekalahan besar 1-8, sekali gus memperlihatkan jurang yang besar antara kedua-dua pasukan.

Malah, prestasi skuad muda negara kali ini juga dilihat kurang ampuh apabila tewas mengejut 2-4 kepada Bangladesh sebelum bangkit menewaskan Pakistan dan China untuk layak ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top