KUALA LUMPUR – Perasaan marah, sedih, sakit hati dan gembira menjadi antara elemen yang dijanjikan kepada pembaca menerusi naskhah terbaharu, Alfu Sanatin III – Tanah yang Dijanjikan: The Origin.
Penulis buku popular, Ibnu Rijal berkata, pelbagai drama dibawa buat pembaca menyoroti peristiwa sejarah dunia yang dihimpunkan dalam karya tersebut.
Menurut beliau, ia sebuah naskhah lengkap kronologi sejarah Yahudi dari zaman awal sejak Bani Israel asal (anak-anak Nabi Yaakub) hingga Peristiwa Nakbah tahun 1948.
“Jika Alfu Sanatin I memfokuskan sejarah menurut pandangan Islam, naskhah ketiga ini pula menyorot perjalanan jatuh bangun bangsa Yahudi dalam lipatan sejarah dunia.
“Pembaca akan menelusuri akar sejarah Bani Israel sejak zaman para nabi sehinggalah lahirnya Zionisme moden dan tertubuhnya negara Israel pada hari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Terdahulu, beliau meluangkan masa lebih sejam dalam sesi bertemu mesra dengan peminat di reruai Karangkraf, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Ibnu Rijal meluangkan masa bertemu pembaca yang mengikuti Trio Alfu Sanatin di reruai Karangkraf PBAKL.
Ibnu Rijal berkata, pengalaman berdepan kesukaran memahami bahan bacaan berkaitan sejarah Yahudi sebelum ini mendorong beliau menghasilkan karya yang lebih mesra pembaca.
“Saya cuba permudahkan sejarah yang sukar itu dalam penulisan saya sendiri dengan bahasa yang santai serta disertakan grafik.
“Malah, kami turut menyediakan kod QR pada setiap bab yang membolehkan pembaca menonton video sinopsis berkaitan.
“Saya harap pembaca akan merasakan sejarah tentang Yahudi tidak pernah semudah ini untuk difahami,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penerbitan Alfu Sanatin III sebagai hasil sokongan berterusan pembaca terhadap dua naskhah terdahulu.
“Sebenarnya yang menyebabkan saya meneruskan penerbitan naskhah ini adalah pembaca itu sendiri.
“Sekarang saya sedang menyiapkan projek penulisan yang keempat dan mudah-mudahan dengan kejayaan naskhah ketiga ini, kita akan bertemu lagi dalam naskhah keempat yang lebih dramatik dan lebih suspens,” katanya.

Reruai Karangkraf menyediakan pelbagai naskhah terbitannya di PBAKL 2026.
Sementara itu, Senior Editor Grup Buku Karangkraf, Rosmawati Ahmad berkata, Trio Alfu Sanatin karya Ibnu Rijal itu menjadi naskhah terlaris di reruai Karangkraf PBAKL 2026.
“Sambutan luar biasa terhadap siri tersebut didorong oleh tawaran kombo tiga buku pada harga RM70 berbanding harga asal RM32 senaskhah.
“Menjelang hari terakhir PBAKL 2026 esok, pengunjung boleh ambil peluang menikmati jualan buku-buku terbitan Karangkraf dengan harga murah, sekali gus memberi nilai yang lebih berbaloi,” katanya.



