Aminuddin dedah punca DUN N. Sembilan bubar -“Disebabkan ‘sahabat’ kita tidak sabar”

Aminuddin dedah punca DUN N. Sembilan bubar -“Disebabkan ‘sahabat’ kita tidak sabar”

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pentadbirannya menjadi punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

‘Sabahat politik’ tak sabar tarik sokongan

Memetik laporan daripada Berita Harian , Aminuddin menyatakan ketika kerajaan negeri berada dalam keadaan stabil dengan pembangunan berjalan lancar dan ekonomi rakyat menunjukkan peningkatan, tindakan tersebut disifatkan sebagai satu pengkhianatan yang menggugat kestabilan pentadbiran.

“Disebabkan ‘sahabat’ kita tidak sabar, mereka menarik sokongan. Mereka mengkhianati kita… tebuk kapal sedang berlayar dengan baik.

“Justeru, rakyat Johor harus ingat dan insaf, apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini tidak harus berulang di mana-mana.

Kita menghormati kerjasama dan persefahaman dibina, tetapi malangnya ada sahabat mengkhianati kepercayaan diberikan. Mereka tarik sokongan dan kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil,” ujarnya.

Perkara tersebut dikatakan oleh beliau pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Pakatan Harapan (PH) Johor, malam ini.

Foto: MediaMBNS

Kembalikan mandat kepada rakyat

Aminuddin yang juga Naib Presiden PH juga menambah bahawa keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat merupakan langkah paling wajar selepas kerajaan berdepan situasi sokongan yang tidak menentu.

Beliau turut mendedahkan bahawa tiada sebarang perbincangan dilakukan sebelum tindakan menarik sokongan itu berlaku, sekali gus menyifatkannya sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

“Apa salah saya, saya pun tak tahu. Mereka kata, mereka tak bincang pun tetapi akhirnya mereka tarik sokongan, lepas tu tiba-tiba memberikan sokongan semula.

“Yang akhirnya, kita rasa perlu serahkan mandat ini kepada rakyat semula.

“Kami di Negeri Sembilan terpaksa mengadakan pilihan raya kerana apa… kerana kita hari ini sekejap mereka sokong, sekejap mereka tarik. Sekejap mereka kata bersama, sekejap mereka tak nak ikut serta saya,” katanya.

Foto: MediaMBNS

Menurut beliau, ketidaktentuan sokongan yang berlaku menyebabkan kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain menyerahkan semula mandat kepada rakyat bagi menentukan hala tuju pentadbiran negeri.

Scroll to Top