Nairobi: Tidak tahan rumahnya kerap dibanjiri orang ramai yang mahu melihat imej didakwa menyerupai Virgin Mary, lelaki di Kenya mengambil keputusan luar biasa dengan merobohkan dapurnya sendiri.
Charles Onsombi merobohkan dapur berdinding tanah liat di kediamannya di Kampung Emenwa, Nyamache, Kisii County pada 8 September lalu selepas struktur itu menjadi tumpuan ratusan penduduk dan pengunjung.
Semuanya bermula apabila isterinya dikatakan terlihat kesan pada dinding dapur yang kehitaman akibat jelaga dan percaya ia menyerupai Virgin Mary.
Berita mengenainya kemudian tersebar satu kampung sebelum gambar dan video dinding itu dikongsi di media sosial sehingga menarik pengunjung dari beberapa kawasan di Kenya.
Ada yang datang untuk berdoa manakala sebahagian lagi sekadar mahu melihat sendiri imej yang menjadi bualan itu.
Kehadiran pengunjung yang semakin ramai turut menyebabkan polis dipanggil bagi membantu mengawal keadaan dan menjaga ketenteraman di kediaman berkenaan.
Menurut Onsombi, kehadiran orang ramai itu mengganggu kehidupan harian dan privasi keluarganya sehingga dia membuat keputusan sukar itu.
“Selepas berbincang dengan isteri, saya mengambil keputusan merobohkan dapur kami.
“Saya buat macam itu kerana mahu menghentikan orang ramai daripada terus membanjiri rumah kami,” katanya.
Onsombi mengakui, tidak pasti mengenai imej berkenaan kerana apa yang dilihatnya pada dinding tidak sama seperti gambar yang tersebar dalam talian.
“Apabila orang mula datang dan mengambil gambar, apa yang saya lihat di internet tidak sama dengan apa yang ada di sini,” katanya.
Sementara itu, penduduk pula berbeza pandangan dengan sebahagiannya mendakwa dapat melihat wajah Virgin Mary manakala yang lain tidak dapat mengenal pasti sebarang imej luar biasa pada dinding itu.
Malah, ada pengunjung kecewa apabila dapur berkenaan dirobohkan dan mencadangkan kawasan itu dipelihara serta sebuah gereja Katolik dibina berhampiran lokasi kerana menganggapnya mempunyai kepentingan keagamaan.
Bagaimanapun, kemunculan imej berkenaan tidak pernah disahkan dan selepas dapur itu dirobohkan, kediaman Onsombi kembali sunyi selepas beberapa hari menjadi tumpuan ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




