12.9 juta pelajar sertai peperiksaan ‘gaokao’ di China

12.9 juta pelajar sertai peperiksaan ‘gaokao’ di China

BEIJING – Ratusan pelajar di ibu negara China dilihat melangkah masuk ke pusat peperiksaan di bawah langit cerah Beijing pada Ahad, sambil ditemani ibu bapa yang berkumpul di luar bagi memberikan sokongan, ketika jutaan pelajar di seluruh negara menduduki peperiksaan kemasukan universiti paling berprestij dan bertekanan tinggi di negara itu dikenali sebagai ‘gaokao’.

Menurut Kementerian Pendidikan China, kira-kira 12.9 juta pelajar mendaftar untuk menduduki ‘gaokao’ tahun ini, yang bagi kebanyakan calon menjadi penentu utama kemasukan ke universiti di negara berkenaan.

Peperiksaan yang berlangsung selama beberapa hari itu bermula pada Ahad, melibatkan subjek termasuk Bahasa Cina, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains serta Kemanusiaan, dengan keputusan dijangka diumumkan pada akhir bulan ini.

Seorang pelajar, Zhang Xinnan, mengakui berasa gementar ketika menunggu giliran memasuki dewan peperiksaan.

“Ini kali pertama saya, jadi saya agak cemas,” katanya kepada AFP.

Pelajar berusia 18 tahun itu turut mengakui berasa bimbang terhadap bahagian karangan Bahasa Cina yang disifatkannya semakin mencabar.

Namun begitu, Zhang berkata, beliau yakin persediaan rapi sepanjang setahun lalu akan membantunya menghadapi peperiksaan tersebut.

“Apa yang perlu dikuasai sudah pun dikuasai,” katanya yang bercita-cita bekerja dalam bidang automobile tenaga baharu.

Beliau turut memberi nasihat kepada rakan-rakan supaya kekal tenang.

“Masuk dengan keyakinan; anda akan stabil,” katanya.

Di luar pusat peperiksaan, ibu bapa dilihat mengenakan pakaian berwarna merah yang dalam budaya Cina melambangkan tuah dan kejayaan, sambil menunggu anak masing-masing.

Pegawai keselamatan dan polis turut ditempatkan di kawasan berkenaan bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan, sementara sebahagian ibu bapa merakam detik anak mereka memasuki dewan peperiksaan.

Perubahan sikap terhadap ‘gaokao’

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, sistem pendidikan tinggi China berkembang pesat seiring pertumbuhan ekonomi yang meningkatkan taraf hidup serta harapan ibu bapa terhadap masa depan anak-anak.

Namun, keadaan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar, termasuk kadar pengangguran belia yang masih tinggi, telah mula mengubah persepsi terhadap peperiksaan tersebut.

Data rasmi menunjukkan kira-kira satu daripada enam rakyat China berusia 16 hingga 24 tahun yang tidak berada dalam sistem pendidikan masih menganggur.

Seorang ibu, Deng Ju berkata, beliau tidak mahu memberi tekanan berlebihan kepada anaknya yang menduduki peperiksaan itu.

“Biarkan dia buat seperti biasa, itu sudah cukup. Saya lebih mementingkan kesihatan fizikal. Peperiksaan ini hanya formaliti,” katanya.

Wanita berusia 53 tahun itu berkata anaknya tidak menyasarkan universiti elit seperti Universiti Tsinghua atau Universiti Peking di Beijing.

Beliau juga secara berseloroh berkata, sistem ‘gaokao’ sepatutnya dimansuhkan, namun mengakui ia tidak mungkin berlaku.

Bagi sebahagian pelajar, ‘gaokao’ masih dianggap laluan penting untuk mencapai impian masing-masing.

“Saya berharap dapat memasuki universiti impian saya,” kata Zhang.

Menurutnya, rakan-rakan turut memandang serius peperiksaan tersebut, namun percaya ketenangan mental memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi.

“Jika kita boleh bertenang, kita boleh mencapai keadaan mental yang stabil,” katanya.

“Mentaliti adalah perkara paling penting dalam ‘gaokao’.” – AFP

Mesti Baca

Scroll to Top