
Malaysia sebelum ini menggantung import lima spesies udang dari Thailand. Foto hiasan
BANGKOK – Kementerian Perdagangan Thailand akan membawa isu penggantungan import lima spesies udang dari Thailand oleh Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta perbincangan di peringkat ASEAN, ketika negara itu melaksanakan 13 langkah kecemasan bagi mengurangkan kesan terhadap sektor eksport makanan lautnya.
Tindakan itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Thailand, Suphajee Suthumpun pada Sabtu, yang menyifatkan langkah berkenaan sebagai sebahagian strategi lebih luas bagi melindungi industri udang negara tersebut.
Menurut beliau, kerajaan kini bergerak di beberapa peringkat bagi meminimumkan kesan ekonomi susulan keputusan Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Langkah itu juga menandakan peralihan dasar Thailand daripada sekadar pengurusan kesan domestik kepada pendekatan lebih agresif dalam menangani isu perdagangan antarabangsa yang dianggap memberi kesan kepada rantaian bekalan eksport makanan laut negara itu.
Kementerian Perdagangan Thailand turut mengarahkan Pejabat Hal Ehwal Komersial di Kuala Lumpur untuk memantau rapat perkembangan situasi, di samping mengadakan rundingan segera dengan pihak berkuasa Malaysia bersama agensi berkaitan sektor perikanan dan piawaian makanan.
Suphajee berkata, Thailand bersedia untuk membangkitkan isu tersebut melalui saluran antarabangsa termasuk WTO dan ASEAN, namun pada masa sama masih membuka ruang rundingan bagi mencapai penyelesaian praktikal dengan Malaysia.
Langkah itu susulan kebimbangan bahawa larangan import yang dilaksanakan Malaysia diumumkan secara mengejut, dengan notis diberikan pada 28 Mei sebelum ia berkuat kuasa pada 1 Jun, sekali gus mengehadkan masa Thailand untuk mengambil tindakan awal atau memberi penjelasan lanjut.
Menurut pihak berkuasa Thailand, pendekatan berlapis kini dilaksanakan termasuk 13 langkah kecemasan bagi menyalurkan semula eksport, memperluas pasaran alternatif serta menstabilkan industri udang tempatan yang terkesan.
Malaysia sebelum ini menggantung import lima spesies udang dari Thailand sebagai sebahagian langkah kawal selia perdagangan makanan laut.



