harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seramai 30 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu menggempur tiga kawasan tumpuan peniaga warga asing di sekitar ibu negara, hari ini.
Operasi diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dengan bantuan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membabitkan kira-kira 30 anggota.
Tiga kawasan itu, Maluri, Pantai Dalam dan Segambut Dalam, digempur menerusi Op Selera dan Op Belanja.
Operasi bertujuan membanteras warga asing yang menyalahgunakan pas dengan menjalankan perniagaan atau bekerja dalam bidang lain selain yang ditetapkan dalam permit kerja mereka.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi bermula 12.45 tengah hari mendapati ramai warga asing dikesan melanggar syarat pas terutama pemegang permit bagi sektor pembinaan yang kini bekerja di kedai runcit dan kedai makan.
Antara alasan paling popular mereka iaitu ‘tiada projek bagi buruh binaan’ dan ‘majikan tidak bayar gaji’ malah ada yang mendakwa ditipu ejen pekerjaan yang lesap selepas menjanjikan pekerjaan di Malaysia.
Operasi itu berakhir kira-kira 4.30 petang, dengan 16 premis perniagaan diperiksa merangkumi kedai runcit, kedai gunting rambut, warung, dan restoran dipercayai dikendalikan warga asing diperiksa.
Keseluruhannya 43 individu diperiksa dan 30 ditahan membabitkan 29 lelaki dan seorang wanita kerana melanggar Akta Imigresen 1959/63.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 19 warga Bangladesh, tiga warga India, Pakistan (satu), Myanmar (satu), Indonesia (lima) dan seorang wanita Indonesia.
Pada masa sama JIM Kuala Lumpur turut mengeluarkan enam Borang 29 ke atas majikan dan penjaga premis warga tempatan supaya hadir ke pejabat bagi proses rakaman keterangan bagi membantu siasatan.
Kesemua warga asing itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur bagi proses pemeriksaan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, SSM mengeluarkan 15 notis membabitkan beberapa kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001, manakala KPDN Kuala Lumpur mengeluarkan 10 kompaun berhubung kesalahan tanda harga dan alat timbang sukat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




