PEKANBARU – Pihak berkuasa telah menahan lebih 100 individu di seluruh negara yang didakwa melakukan pembakaran dengan sengaja ketika kebakaran hutan di Indonesia terus merebak.
Di Riau, polis telah menamakan 49 suspek dalam 45 kes berasingan yang disyaki setelah hampir 3,000 hektar kawasan hutan musnah dijilat api.
“Setiap kejadian kebakaran hutan akan disiasat secara menyeluruh. Jika terdapat bukti yang mencukupi mengenai kesalahan jenayah, penyiasat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata Pengarah Jenayah Khas Polis Riau, Sr. Komr. Ade Kuncoro Ridwan.
Di Kalimantan Tengah, polis pula telah mengenal pasti 25 individu sebagai suspek dalam 62 kes pembakaran berasingan ketika jerebu tebal terus menyelubungi wilayah tersebut.
Siasatan turut meneliti kemungkinan penglibatan syarikat dalam pembakaran hutan dan bukan hanya tertumpu kepada individu memandangkan empat syarikat juga sedang disiasat.
Pada Isnin lalu, Ketua Polis, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mengesahkan penahanan seramai 138 suspek dalam 200 kes berkaitan kebakaran hutan dan tanah pertanian di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 19 individu pula dikaitkan dengan kejadian yang berpunca daripada kecuaian. – Agensi
