am@hmetro.com.my
Tapah: Jaslinda Saludin yang hilang 14 hari di Gunung Batu Putih di sini dikatakan berdepan pengalaman aneh apabila mendengar pergerakan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), namun tidak menemui sesiapa di sekitarnya.
Wanita berusia 49 tahun itu berkongsi perkara itu kepada Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu di Pos Musoh, Mohd Asmadi Abdullah, 63, selepas diselamatkan dari kawasan sungai berhampiran perkampungan berkenaan.
Menurut Mohd Asmadi, selepas dibawa pulang ke kampung dan diberi bantuan awal, Jaslinda bercerita bahawa sepanjang sesat, dia sedar seperti ada individu di kawasan berhampiran yang memanggil namanya, sekali gus membuatkan dia gembira.
“Tetapi katanya apabila dia amati, dia dapati orang tak ada. Dia kata memang ada dengar bunyi macam bunyi wisel dan lain-lain, cuma dia cakap tak nampak orang.
“Walaupun dia rasa macam ramai orang ada di sekeliling itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu hari ini.
Pertemuan penduduk kampung, Nazri a/l Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, yang mahu memancing di sungai, menyelamatkan Jaslinda yang sebelum itu hilang dua minggu sejak 24 Mei lalu.
Mohd Asmadi berkata, Jaslinda dibawa ke rumahnya yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi penemuan dalam keadaan lemah.
Menurutnya, wanita itu kemudian dijamu dengan beberapa makanan antaranya mi segera, nasi berlauk ayam dan ikan tenggiri serta sambal petai dan kopi sebagai minuman.
Sementara itu, Nazri berkata, ketika ditemui Jaslinda masih membawa beg sandangnya berisi beberapa daun yang dikenali penduduk sebagai daun asam batu serta cendawan yang sepatutnya tidak boleh dimakan kerana beracun.
Katanya, di dalam beg Jaslinda juga ada dua botol berisi air yang kelihatan kotor dipercayai air dari tumbuhan periuk kera.
“Daun asam batu memang boleh dimakan, tetapi cendawan itu tidak boleh. Nasib baik dia tak makan lagi kerana ia beracun,” katanya.
Wartawan yang meninjau lokasi penemuan Jaslinda mendapati ia kawasan lata air terjun Sungai Woh yang paling hampir dengan Kampung Lubuk Gaharu.
Jaslinda dikatakan mahu menyeberangi sungai itu menggunakan jambatan kayu yang sudah uzur dan reput.
Menurut Nazri, biarpun komuniti kampung itu tidak terbabit dengan operasi SAR Jaslinda, namun mereka mengetahui mengenai kehilangan wanita itu susulan liputan media yang meluas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




