Odegaard penyelamat Norway

Odegaard penyelamat Norway

Harrison, New Jersey: Kapten Norway, Martin Odegaard menjaringkan gol penyamaan 15 minit sebelum tamat perlawanan untuk membantu negaranya mengikat Maghribi 1-1 dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia, awal pagi tadi.

Maghribi terlebih dahulu mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan Brahim Diaz yang melepaskan rembatan kencang dari luar kawasan penalti.

Namun, Norway bangkit memberikan tentangan hebat dan hampir mencipta kemenangan ke atas pasukan Afrika Utara itu yang mara ke separuh akhir pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Walaupun berdepan cuaca panas, Norway meningkatkan tekanan pada penghujung perlawanan dan hampir meraih gol kemenangan menerusi Kristian Thorstvedt pada minit ke-81, namun tandukannya hasil sepakan percuma Julian Ryerson hanya melewati tiang gol.

Odegaard akhirnya menyamakan kedudukan apabila menyempurnakan hantaran pendek daripada Oscar Bobb yang berjaya melepasi beberapa pertahanan sebelum memasuki kawasan penalti.

Maghribi memulakan perlawanan dengan cemerlang dan Diaz diberikan ruang secukupnya untuk melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Norway.

Ia gol pertama Diaz bersama Maghribi sejak Piala Negara-Negara Afrika awal tahun ini, kejohanan yang menyaksikannya muncul penjaring terbanyak walaupun gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akhir.

Rakan sepasukannya, Abdessamad Ezzalzouli, hampir menggandakan kelebihan pada minit ke-30 menerusi sepakan voli hasil hantaran silang Diaz, namun percubaannya tersasar.

Maghribi turut memiliki satu lagi peluang terbaik pada minit ke-57 apabila rembatan Diaz ditepis penjaga gol Norway, Orjan Nyland, sebelum tandukan susulan Neil El Aynaoui melambung melepasi palang.

Bagaimanapun, Maghribi semakin diasak pada penghujung permainan dan terpaksa bertahan dengan kental bagi mengelakkan kekalahan.

Maghribi akan memulakan kempen Piala Dunia dalam Kumpulan C menentang Brazil di New York City pada Sabtu.

Sementara itu, Norway akan membuka saingan Kumpulan I menentang Iraq di Boston pada 16 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top