Amang seksual remaja lelaki, pengutip hutang tukar pengakuan pada hari jatuh hukum

Amang seksual remaja lelaki, pengutip hutang tukar pengakuan pada hari jatuh hukum

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang pengutip hutang yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja lelaki di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Mei lalu bertindak menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun itu dibacakan semula di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Sebelum ini, prosiding kes berkenaan dijadualkan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum susulan pengakuan bersalah duda anak satu berkenaan pada 22 Mei lalu.

Bagaimanapun, pertukaran pengakuan tersebut menyebabkan kes itu kembali kepada peringkat sebutan semula.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini, antara jam 8.05 pagi hingga 11.50 pagi, 11 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya KS Rinisha Priyya memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Pada prosiding hari ini, Mohamad Fadwan tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 8 Julai depan bagi tujuan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Mohamad Fadwan dijatuhi hukuman penjara keseluruhan enam tahun dan tiga sebatan selepas kesemua hukuman diperintahkan bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei lalu.

Ini setelah dia mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 394, 342, 323, 170 dan 379A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki itu yang menjadi buruan selama lima hari selepas melakukan jenayah seksual itu berjaya ditangkap pada petang, 16 Mei lalu di bilik sewanya di Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu selepas melakukan jenayah tersebut di daerah ini.

Polis kemudiannya mengesahkan bahawa suspek adalah seorang bekas banduan dengan semakan pernah disabitkan hukuman penjara selama 17 tahun atas jenayah rogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007.

Hasil semakan juga mendapati suspek baharu dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top