Imran Ajmain terbuka bincang soal bayaran menyanyi

Imran Ajmain terbuka bincang soal bayaran menyanyi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Imran Ajmain, 45, menyifatkan platform media sosial, Threads adalah menakjubkan bagi dirinya untuk menambah tawaran menyanyi daripada pihak lain dengan bayaran berpatutan.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Imranullah Ahmad Husaini ini, lebih setahun aktif di Threads adalah langkah tepat untuk dia mendapat lebih peluang sekali gus meraih sumber pendapatan demi kelangsungan hidup.

“Saya guna Threads yang dirasa sesuatu menakjubkan dan ajaib sepanjang setahun setengah saya aktif di platform itu. Dulu saya selalu guna Twitter, tetapi lama-kelamaan sudah tidak sesuai lagi.

“Contoh macam mana saya guna Threads, saya akan tulis untuk memaklumkan saya ke Kuantan, Pahang pada tarikh sekian ini dan saya tanya juga kalau hari Jumaat dan Sabtu minggu itu, ada atau tidak sesiapa buat acara lain?

“Bila saya buat macam itu (bertanya), orang (pengguna media sosial) punya terbuka dengan kita memang sangat membantu. Akan ada yang balas beritahu dia ada buat majlis kahwin, aqiqah bayi, festival makanan dan sebagainya serta mengundang saya untuk datang.

“Dari situ, saya faham kalau kita mencari orang pasti mereka juga akan dapat panggilan daripada kita. Saya sangat yakin dengan benda itu dan sebenarnya kita pun jangan buat alasan bila pergi ke Threads seperti nak beritahu yang kita popular,” katanya kepada Harian Metro.

Ujar penyanyi lagu Seribu Tahun Lagi ini, kalau ada niat suka mendabik dada sebagai individu popular dan dikenali ramai, memang tidak layak untuk ke Threads bertanya mengenai tawaran menyanyi yang biasa-biasa sahaja dengan penonton tidak begitu ramai.

“Benda seperti ini (percubaan dapatkan undangan berskala kecil) kita kena terbuka dan berani untuk nak buat. Walaupun penonton mungkin seramai 20 atau 30 orang, tetapi tidak mengapa kerana hadirnya kita di situ juga ada bayaran.

“Soal bayaran, kena bincang elok-elok dan percayalah orang yang undang kita itu faham. Tanya juga berapa bajet majlis mereka dan dari situ boleh berunding. Memang tidak akan rugi dan insya-Allah berbaloi.

“Nak tahu siapa yang ajar saya buat benda macam ini, dia adalah penyanyi Atilia Haron. Dia (Atilia) pernah cakap kepada saya, jangan asyik fikir untuk menang anugerah sebab kalau berharap sahaja, ia tidak datang dan tidak boleh bayar bil-bil bulanan kita.

“Tetapi kalau anugerah itu kita menang, Alhamdulillah. Jadi, apa yang perlu dibuat adalah benda mendekatkan kita kepada orang dan mereka akan sentiasa datang beri sokongan dengan baik dan membayar kita juga,” katanya.

Terdahulu, Imran Ajmain ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini pada majlis pelancaran Konsert Spotlight KL yang akan berlangsung pada 22 Ogos dan 12 September depan.

Bakal diadakan di Plenary Theatre KLCC, konsert itu membariskan penyanyi dipilih seperti Aizat Amdan, kumpulan SOG (Sekumpulan Orang Gila), Orked Farhan, Iman Troye, Imran Ajmain serta Noryn Aziz dengan harga tiket antara RM150 dan RM200.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top