Kerajaan timbang perluas takrif kemudaratan dalam talian – Fahmi

Kerajaan timbang perluas takrif kemudaratan dalam talian – Fahmi
Kerajaan timbang perluas takrif kemudaratan dalam talian – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menandatangani Ikrar Media Malaysia mengenai Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Mengenai Tingkah Laku Bunuh Diri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk memperluaskan takrif ‘kemudaratan dalam talian’ merangkumi penyebaran kandungan grafik mengerikan termasuk rakaman kemalangan melibatkan kematian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu sedang dipertimbangkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan kebimbangan terhadap kesan penyebaran kandungan sedemikian kepada mangsa serta ahli keluarga terlibat.

Menurut beliau, rakaman kamera papan pemuka yang memaparkan detik kemalangan sering dikongsi secara meluas di media sosial tanpa mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa dan kepentingan siasatan yang sedang dijalankan.

“Kita patut beri mereka (keluarga mangsa) privasi dan hormati aspek siasatan. Bayangkan perasaan keluarga apabila melihat rakaman sedemikian tanpa sebarang tapisan.

“Jadi di situ mungkin (perlu) kerjasama lebih erat dengan platform (media sosial) sepatutnya supaya ambil tindakan mengurangkan kandungan seperti itu,” katanya pada sidang akhbar selepas program Sesi Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu Fahmi turut memaklumkan, penyedia perkhidmatan media sosial boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian sekiranya aduan dibuat kepada MCMC.

Sehubungan itu, beliau berharap penyedia platform media sosial dapat memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan kandungan berkenaan diturunkan dengan segera dan tidak terus tersebar.

“Masalahnya banyak kandungan ditulis dalam bahasa tempatan dan tidak dapat dikesan oleh kecerdasan buatah (AI).

“Saya harap pihak MCMC dapat menjemput platform untuk duduk bersama meneliti dan mengambil tindakan lebih proaktif,” ujarnya.

 

Scroll to Top