nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Siasatan awal polis terhadap kejadian kebakaran yang memusnahkan 27 buah rumah di Kampung Cina, tengah hari tadi tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca kejadian kebakaran.
Katanya, kejadian berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
“Siasatan mendapati kebakaran berkenaan membabitkan kawasan seluas enam ekar dengan tahap kemusnahan yang berbeza-beza.
“Anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan sedang dalam proses penilaian oleh pihak berkaitan.
“Menurut saksi kejadian, asap dan api mula dikesan sekitar jam 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas disebabkan kedudukan rumah yang berhampiran antara satu sama lain.
“Api dapat dikawal sepenuhnya oleh JBPM pada jam 5.30 petang dengan kekuatan 38 pegawai dan anggota serta dibantu empat jentera bomba, dua jentera tangki air, lima motosikal bomba dan sebuah van unit perkhidmatan penyelamatan perubatan kecemasan (EMRS),” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, PDRM Kelantan merakamkan penghargaan terhadap semua agensi yang terbabit dalam operasi menyelamat dan pemadaman.
“Pada masa sama kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan kebakaran di kediaman masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




