Bahaya evolusi pantas vape: Pusat Racun Negara suara kebimbangan

Bahaya evolusi pantas vape: Pusat Racun Negara suara kebimbangan

am@hmetro.com.my

Georgetown: Pusat Racun Negara (PRN) Universiti Sains Malaysia (USM) memandang serius penggunaan vape serta evolusi pantas produk itu hingga semakin sukar dipantau, dikawal serta dirawat apabila berlaku keracunan dan penyalahgunaan.

Pengarahnya, Dr Nur Azzalia Kamaruzaman berkata Malaysia mengambil masa hampir sedekad bagi mewarta undang-undang khusus pengawalan vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok 2024 selepas produk berkenaan memasuki pasaran komersial tempatan.

Namun, dalam tempoh itu industri vape berkembang sangat pantas sehingga jauh mendahului mekanisme kawalan yang dibangunkan.

“Pada peringkat awal, vape diperkenal menerusi sistem terbuka yang memerlukan pengguna menambah cecair isian semula sendiri sebelum ia berevolusi kepada sistem tertutup atau pra-isian lebih mudah diguna.

“Seterusnya muncul vape pakai buang lebih praktikal, murah atau mudah diakses pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak dan remaja.

“Reka bentuknya yang kompak serta moden menarik minat pengguna baharu,mengelirukan dan mudah disorok pelajar sekolah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Nur Azzalia berkata, perubahan itu tidak hanya berlaku pada peranti, malah turut membabitkan kandungan nikotin yang pada awalnya hadir dalam bentuk ‘free-base’ dengan rasa lebih perit dan kurang selesa digunakan.

Namun kini, ia sudah berevolusi kepada bentuk garam nikotin (nicotine salt) yang lebih selesa dan mudah diterima walaupun kepada pengguna kali pertama.

“Lebih membimbangkan, kemunculan nikotin sintetik menjadikan pengesanan serta jangkaan kesan toksiknya semakin rumit dan pada masa sama, vape kini tidak lagi sekadar digunakan bagi nikotin.

“Peranti ini semakin jelas disalah guna sebagai medium pengambilan dadah dan bahan terlarang malah pelbagai bahan digunakan secara silih berganti termasuk dadah sintetik seperti kanabis sintetik, fentanyl dan etomidate yang mempunyai kesan sangat kuat serta sering kali sukar dirawat menggunakan pendekatan klinikal biasa,” katanya.

Menurut Dr Nur Azzalia, evolusi pantas vape menjadikan ia amat sukar dipantau dan dikawal manakala keupayaan makmal bagi menyaring serta mengesah kehadiran bahan terlarang dalam vape juga masih terhad serta memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, bahan yang diguna sentiasa berubah-ubah, selain usaha pengesanan menjadi semakin mencabar dan kadang-kadang tidak seiring dengan kepantasan perubahan pasaran gelap.

“Bukti penyalahgunaan vape kini semakin ketara, ia bukan sahaja membuka ruang kepada ketagihan nikotin malah berpotensi menjadi pintu masuk kepada penggunaan dadah dalam kalangan anak muda.

“Pendedahan awal nikotin kepada kanak-kanak dan remaja pula diketahui boleh memberi kesan terhadap perkembangan otak, daya pemikiran, keupayaan pembelajaran serta pembentukan tingkah laku mereka pada masa hadapan.

“Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila penggunaan vape dalam kalangan remaja terus meningkat.

“Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan prevalens penggunaan vape dalam kalangan remaja Malaysia meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.

“Trend ini menunjukkan semakin ramai anak muda terdedah kepada nikotin dan berisiko terjerumus kepada ketagihan serta penyalahgunaan bahan pada usia yang lebih awal,” katanya.

Dr Nur Azzalia berkata, data kes keracunan berkaitan vape yang diterima RPN tidak menggambarkan realiti sebenar situasi di Malaysia kerana ia hanya berdasarkan panggilan yang diterima oleh pusat itu bagi tujuan mendapatkan maklumat pengurusan kes keracunan, bukannya pangkalan data nasional pelaporan kes vape.

Katanya, angka yang wujud berkemungkinan hanya mewakili sebahagian kecil daripada kejadian sebenar di lapangan dan situasi itu boleh diibarat seperti ‘bom jangka’ yang menunggu masa bagi mencetuskan impak kesihatan awam lebih besar.

“Sehubungan itu, PRN menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta gesaan PDRM bagi mempertimbangkan langkah pengharaman vape demi melindungi kesihatan serta keselamatan rakyat, khususnya generasi muda.

“Bagaimanapun sebarang pelaksanaan dasar pengharaman perlu disokong secara menyeluruh.

“Kerajaan perlu membantu agensi dan pihak berkaitan menerusi pelaksanaan

kempen kesedaran berterusan, program bina upaya, penyediaan perkhidmatan rawatan ketagihan nikotin yang mudah dicapai serta ketegasan penguatkuasaan selain konsisten,” katanya.

Dr Nur Azzalia berkata, perhatian khusus juga perlu diberi kepada kawalan penjualan vape terhadap kanak-kanak dan remaja.

“Kita tidak boleh terus membiarkan industri bergerak lebih pantas daripada dasar dan penguatkuasaan.

“Jika gagal bertindak sekarang, negara mungkin berdepan generasi yang

bukan sahaja ketagih nikotin, tetapi turut terdedah kepada perangkap dadah menerusi peranti yang selama ini dianggap tidak berbahaya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top