Perancis skuad paling bernilai di Piala Dunia 2026

Perancis skuad paling bernilai di Piala Dunia 2026

London: Perancis bakal beraksi di Piala Dunia 2026 sebagai pasukan paling bernilai dalam kejohanan itu dengan nilai pasaran skuad mereka hampir dua kali ganda berbanding juara bertahan, Argentina.

Menurut Transfermarkt, platform statistik dan penilaian pemain bola sepak terkemuka, 26 pemain yang dipilih untuk skuad Perancis mempunyai nilai pasaran gabungan sebanyak AS$1.76 bilion (RM1.74 bilion).

Pemain paling bernilai dalam skuad itu ialah kapten Kylian Mbappe dengan nilai pasaran sekitar AS$230 juta (RM933 juta). Walaupun gagal memenangi sebarang trofi dalam dua musim pertamanya bersama Real Madrid, penyerang Perancis itu tetap mempamerkan prestasi cemerlang.

Mbappe menjaringkan 86 gol dalam 103 penampilan, memenangi Anugerah Kasut Emas La Liga selama dua musim berturut-turut serta muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara Eropah.

England berada di tangga kedua dengan nilai skuad keseluruhan AS$1.51 bilion (RM6.13 bilion). Tiga pemain paling bernilai mereka ialah Jude Bellingham (RM653 juta), Declan Rice (RM560 juta) dan Bukayo Saka (RM560 juta).

Di tempat ketiga ialah Sepanyol dengan nilai skuad AS$1.45 bilion (RM5.88 bilion), diterajui oleh Lamine Yamal (RM934 juta) dan Pedri (RM702 juta).

Tiga pasukan seterusnya yang turut melepasi nilai AS$1 bilion (RM4.06 bilion) ialah Portugal (RM4.79 bilion), Jerman (RM4.67 bilion) dan Brazil AS$1.05 bilion (RM4.26 bilion)

Sementara itu, juara Piala Dunia 2022, Argentina hanya berada di tangga kelapan dengan nilai skuad AS$942 juta (RM3.82 bilion). Dua pemain paling bernilai mereka ialah Julian Alvarez (RM466 juta) dan Enzo Fernandez (RM422 juta).

Walaupun Lionel Messi masih dianggap nadi utama pasukan, nilai pasarannya telah menurun seiring peningkatan usia selepas mencecah 38 tahun.

Melengkapkan senarai 10 pasukan paling bernilai ialah Norway (RM2.81 bilion) dan Belgium (RM2.54 bilion).

Bintang Norway, Erling Haaland turut memiliki nilai pasaran AS$230 juta (RM933 juta), menyamai Yamal dan Mbappe.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sebanyak 48 pasukan akan bertanding dan dibahagikan kepada 12 kumpulan. Dua pasukan teratas setiap kumpulan bersama lapan pasukan terbaik di tempat ketiga akan mara ke pusingan 32 terbaik, iaitu peringkat kalah mati pertama kejohanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top